
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia tidak akan mempertahankan kejuaraan selepas menarik diri daripada Kejohanan Badminton Terbuka Australia 2025 di Sydney dari 18 hingga 23 November ini.
Menurut Persekutuan Badminton Dunia (BWF), nama Zii Jia disenaraikan sebagai ‘menarik diri’ bersama pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2024 Viktor Axelsen, juara dunia 2023 dari Thailand Kunlavut Vitidsarn serta dua lagi pemain profesional negara Cheam June Wei dan Jacky Kok.
Pasukan LZJ masih belum mendedahkan sebab di sebalik penarikan diri Zii Jia daripada kejohanan bertaraf Super 500 yang akan diadakan di Quaycentre, Olympic Boulevard.
Pemain berusia 27 tahun itu juga tidak menyertai kejohanan Kumamoto Masters Jepun 2025 yang berlangsung mulai hari ini hingga 16 November.
Pada 1 Oktober lepas, Pasukan LZJ menerusi hantaran di Instagram memaklumkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu telah dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya menjalani program pemulihan lanjutan bagi menangani masalah sakit belakang yang berterusan.
Sehubungan itu, juara All England 2021 itu terlepas tiga kejohanan di Eropah baru-baru ini iaitu Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka Hylo.
Kali terakhir Zii Jia beraksi ialah pada Kejohanan Masters China 2025 pada September lepas, sebelum terpaksa menarik diri pada set penentuan pada perlawanan pusingan pertama menentang pemain Taiwan Lin Chun-Yi ketika ketinggalan 6-14.
Pemain kelahiran Kedah berkenaan memenangi set pertama 21-17 sebelum tewas tipis dalam set kedua 21-23.
Tahun lepas, Zii Jia menjuarai Kejohanan Terbuka Australia buat kali pertama selepas menewaskan pemain Jepun Kodai Naraoka 21-19, 11-21, 21-18.
Kempen pemain perseorangan lelaki negara pada Terbuka Australia 2025 kini digalas Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Aidil Sholeh Ali Sadikin, manakala Eogene Ewe dan Lim Ming Hong perlu melalui pusingan kelayakan.- Bernama