
PUTRAJAYA: Pemain perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia sah menolak tawaran untuk disenaraikan dalam program Road To Gold (RTG) bagi persiapan ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA2028).
Perkembangan itu disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada sidang media RTG di Menara Kementerian Belia dan Sukan hari ini.
Hannah bagaimanapun berkata peluang masih terbuka kepada Zii Jia untuk menyertai RTG sekiranya atlet itu berubah fikiran pada masa akan datang.
“Lee Zii Jia tidak sertai program atas alasan tersendiri. Jadi, kita hormati keputusan Lee Zii Jia,” katanya.
Zii Jia antara 16 atlet yang disenarai pendek di bawah program RTG pada April lepas.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 di Paris itu menolak tawaran menyertai RTG, selepas melakukannya pada tahun 2023.
Sementara itu, Team LZJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasukan itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa RTG terutamanya Hannah yang memberi peluang untuk Zii Jia menyertai program berprestij berkenaan.
Team LZJ memaklumkan selepas melakukan pertimbangan penuh, pihaknya membuat keputusan untuk menolak tawaran daripada menyertai RTG.
“RTG ialah program yang dikhaskan untuk yang terbaik daripada yang terbaik di negara ini dan memandangkan Zii Jia masih pulih daripada kecederaan, kami berasakan bantuan yang sewajarnya daripada program itu harus diberikan kepada atlet yang lebih layak pada masa ini,” menurut kenyataan itu.– Bernama