

KABONG: Keprihatinan terhadap kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir apabila beliau menyantuni seorang warga emas yang terlantar sakit dalam program Ziarah Prihatin ADUN N.40 Kabong di Kampung Hilir Laut Kabong, hari ini.
Chee Kadir bersama isteri, Datin Meryani Yassin menziarahi Noriah Mohamad, 68, yang telah terlantar sakit sejak sekitar tiga tahun lalu, sebagai tanda sokongan moral dan keprihatinan terhadap pesakit serta ahli keluarga yang menjaga beliau.
Menurut Chee Kadir, program ziarah seumpama itu penting bagi memastikan golongan memerlukan tidak terpinggir, selain membolehkan wakil rakyat memahami sendiri situasi dan keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
Pada kesempatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan berupa satu set katil dan satu set tilam bagi kegunaan Noriah, bertujuan membantu meningkatkan tahap keselesaan beliau dalam menjalani rawatan dan penjagaan di rumah.
Chee Kadir berkata, sumbangan berkenaan diharap dapat meringankan beban keluarga serta memberi kemudahan yang lebih baik kepada pesakit dalam menjalani kehidupan seharian.
Beliau turut mendoakan agar Noriah diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian kesihatan yang dialami, di samping berharap urusan rawatan beliau dipermudahkan.
Dalam pada itu, Chee Kadir menzahirkan harapan agar ahli keluarga terus diberikan kesabaran, semangat dan ketabahan dalam menjaga kebajikan Noriah, selain menegaskan komitmennya untuk terus cakna terhadap keperluan rakyat di kawasan Kabong.
Oleh Adi Safarman