
SARATOK: Program Ziarah Kasih bertemakan ‘Masih Ada Yang Sayang’ anjuran Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Bahagian Betong (PKSB) terus membuktikan keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat setempat apabila seramai 15 keluarga di Kampung Perpat Hulu, Tengah dan Hilir disantuni, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, program tersebut dilaksanakan hasil kerjasama erat antara PKSB, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong, Pusat Khidmat ADUN Kalaka, Kaunselor Saee serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Perpat.
Menurutnya, rombongan program telah menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 15 penerima yang terdiri daripada golongan memerlukan termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Selain penyerahan sumbangan, pihak JKM Bahagian Betong turut memberi pencerahan berkaitan jenis bantuan yang boleh dipohon, di samping membantu mengisi borang permohonan bantuan bulanan JKM kepada mereka yang layak,” katanya.
Beliau menambah, lawatan secara bersemuka ini membolehkan pihak JKM menilai dengan lebih jelas keperluan pemohon, seterusnya meneliti bentuk bantuan serta saluran sokongan yang bersesuaian untuk disalurkan kepada golongan sasar.

Mohamad Duri turut menzahirkan penghargaan terhadap kolaborasi berterusan antara Pusat Khidmat ADUN Kalaka, PKSB dan JKM Bahagian Betong yang telah lama terjalin dan memberi manfaat besar kepada masyarakat yang memerlukan di kawasan tersebut.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas komitmen serta kerjasama yang diberikan oleh PKSB dan JKM Bahagian Betong, Saratok dan Kabong dalam menjayakan inisiatif kebajikan ini,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman