KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan aktiviti ziarah Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai hanya dibenarkan untuk sehari sahaja.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, JPBNS telah memutuskan perkara itu sebagai garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi kedua-dua perayaan itu di negeri ini.
“SOP ini juga memutuskan untuk mengehadkan kapasiti kehadiran aktiviti ziarah ini adalah hanya untuk ahli kelurga terdekat.
“Jumlah yang dibenarkan juga adalah tidak melebihi 20 orang sehari,” katanya pada sidang media semalam.
Uggah yang juga Pengerusi JPBNS berkata, pihak jawatankuasa juga akan menubuhkan pasukan penguatkuasaan bagi memantau perkara tersebut.
Tambahnya, ini mungkin satu perkara yang mencabar untuk dilakukan tetapi apa yang penting adalah usaha untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.
Namun, apa yang penting adalah rakyat sendiri faham tujuan peraturan yang dibuat oleh kerajaan ini bagi memastikan keselamatan dan kesihatan semua rakyat Sarawak, jelasnya.
Sementara itu, berkenaan dengan pergerakan orang awam, mereka adalah dibenarkan untuk keluar antara jam 7.00 pagi hingga 10.00 malam selaras dengan pembukaan sektor ekonomi di Sarawak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Ramai yang masih keliru dengan perkara ini dan menganggap mereka hanya dibenarkan keluar antara jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam seperti PKP sebelum ini.
“Selepas mengadakan perbincangan mengenai kekeliruan ini, orang ramai dibenarkan keluar bermula jam 7.00 pagi hingga 10.00 malam dan hanya bila perlu sahaja,” katanya.