
BEKENU: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus meneruskan program ziarah sempena Hari Raya dengan mengunjungi rumah pemimpin masyarakat di sekitar kawasan Bekenu, hari ini.
Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata, program ziarah tersebut turut melibatkan tuai-tuai rumah panjang sebagai usaha mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
Menurut beliau, amalan saling menziarahi sempena perayaan mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

“Inilah keunikan Sarawak. Apabila Hari Raya kita sambut bersama, begitu juga Hari Gawai dan Tahun Baharu Cina yang diraikan secara bersama-sama,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa program ziarah itu turut dimanfaatkan untuk meninjau perkembangan projek pembangunan di kampung-kampung.
“Lawatan ke rumah penduduk turut memberi peluang melihat perkembangan projek seperti pembinaan jambatan sementara di Kampung Kepayang Tiris,” jelasnya.
Tambahnya, terdapat satu lagi projek jambatan di kawasan itu yang telah lama tergendala dan masih belum siap.
“Namun, kita telah mengeluarkan notis penukaran projek dan diharap perubahan agensi pelaksana akan membolehkan projek ini dilaksanakan dalam tahun ini,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan mengenai projek pembinaan dewan terbuka yang juga mengalami kelewatan.

“Kita berharap dengan perubahan agensi pelaksana, projek ini dapat disiapkan seperti yang dirancang,” katanya.
Rosey turut menyentuh keperluan menaik taraf kemudahan teratak bagi kegunaan masyarakat Kedayan, khususnya sebagai tempat mengadakan majlis makan tahun.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama erat daripada pemimpin masyarakat amat penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek.
“Kita amat menghargai kerjasama pemimpin kampung yang membantu memantau projek kerana kita tidak mampu untuk turun ke setiap lokasi secara berterusan,” katanya lagi.
Sepuluh rumah pemimpin telah diziarahi, pertama ialah ke rumah Pemanca Dr Ali Mudin; Penghulu Junit (Kelulit); Penghulu Kassim (Tiris); Ketua Kampung Kepayang Suip (Kepayang); Ketua Pemuda PBB Bekenu Abang Zai (Bekenu); Penghulu Kadir (Selanyau); Kaunselor Hadijah Sheikh Kasim (Bekenu); Sulaiman Ahmad (bekas Kaunselor); Penghulu Ahmad Zaini (Jengalas) dan Penghulu Jenuin (Bungai).
Oleh Adum Liu