
LONDON: Zhao Xintong dinobatkan sebagai juara snuker dunia pertama dari China selepas menahan asakan kebangkitan Mark Williams untuk mencatat kemenangan 18-12 di Crucible.
Memulakan sesi akhir hanya satu frame daripada kemenangan, Zhao terpaksa menunggu saat bersejarah itu apabila pemain veteran dari Wales itu memenangi empat frame berturut-turut hingga memanjangkan aksi melepasi rehat pertengahan sesi.
Williams, yang pada usia 50 tahun menjadi finalis tertua dalam sejarah Crucible, berpeluang merapatkan jurang sebelum Zhao kembali menemui rentak dan mencatat break penentu kemenangan sebanyak 87 mata. Beliau meraikan kejayaan itu dengan mengibarkan bendera China.
Dengan kemenangan itu, Zhao bukan sahaja menjulang trofi berprestij bersama hadiah wang tunai £500,000 (US$663,700), tetapi turut menjadi pemain ketiga yang layak ke kejohanan melalui pusingan kelayakan dan pemain amatur pertama menjuarai saingan di Crucible, selepas kehilangan kad jelajahnya pada Januari 2023 susulan penglibatannya dalam skandal mengatur perlawanan.
Zhao sebelum ini mengaku terlibat dalam cubaan mengatur dua perlawanan membabitkan rakan senegaranya, Yan Bingtao, juara Masters terdahulu. Walaupun sering menyatakan kekesalannya, masih ada yang menganggap kejayaannya itu tercemar.
Kemenangan ke atas Williams merupakan kemenangan kesembilan Zhao dalam kejohanan itu – satu rekod bagi mana-mana juara – dan yang ke-47 daripada 49 perlawanan sejak beliau memulakan kebangkitan semula dengan kemenangan 3-0 ke atas pemain Lithuania, Vilius Schulte-Ebbert dalam kejohanan Q Tour di Sofia pada September lalu.
Selepas 227 hari, Zhao akhirnya mengatasi pencapaian Ding Junhui, yang memulakan era kebangkitan snuker China apabila meraih gelaran pertama daripada tiga kejuaraan UK pada 2005, namun tidak pernah berjaya menjuarai kejohanan di Crucible.
Zhao telah lama dianggap sebagai pewaris Ding, malah Ronnie O’Sullivan dan Jimmy White pernah menyifatkannya sebagai bintang masa depan sebaik beliau menerima kad jelajah pertamanya pada 2016.
Williams, juara tiga kali, turut memberikan pujian sejurus tamat sesi petang yang mencabar, dengan menyifatkan lawannya sebagai “mungkin pemain dengan pukulan terbaik yang pernah saya lihat”.
Williams menafikan jangkaannya sendiri apabila mara ke final Crucible kelima dan memecahkan rekod finalis tertua sebelum ini yang dipegang rakan senegaranya, Ray Reardon, yang berusia 49 tahun ketika tewas kepada Alex Higgins dalam final 1982.
Meskipun mengalami masalah penglihatan dan dijadual menjalani pembedahan menukar kanta mata musim panas ini, Williams menggunakan segala pengalamannya untuk menewaskan John Higgins dalam suku akhir klasik, sebelum bangkit daripada ketinggalan 5-1 untuk menewaskan pemain nombor satu dunia, Judd Trump, dalam separuh akhir.
Permulaan pantas Zhao dalam pertemuan ketujuh mereka – selepas tewas dalam kelayakan pusingan pertama pada 2017 – telah memadamkan harapan Williams untuk merangkul kejuaraan dunia keempat.
Ketinggalan 1-7 mencetus jangkaan bahawa Zhao, yang sebelum ini menewaskan O’Sullivan lebih awal dengan baki satu sesi, bakal menamatkan final lebih awal dan menjadi juara pertama sejak Stephen Hendry menewaskan Jimmy White pada 1993 yang menjulang trofi pada sesi petang.
Jangkaan itu berterusan apabila sesi kedua menyaksikan Williams ketinggalan 6-11, dan hanya selepas satu break berani sebanyak 67 mata pada frame ke-23, barulah peminat yang membeli tiket sesi akhir pasti dapat menyaksikan detik bersejarah tersebut.
Ketika Zhao terhenti pada break 30 mata dalam frame pembukaan, Williams terus memberikan aksi menghiburkan, termasuk satu century tunggalnya dalam final, untuk memenangi empat frame berturut-turut dan merapatkan jurang kepada 17-12, sekali gus menerima tepukan gemuruh sewaktu rehat.
Williams mempunyai dua peluang untuk terus merapatkan jurang, namun Zhao kekal tenang dan mengesahkan kemenangan yang dianggarkan ditonton lebih 150 juta penonton di tanah airnya.
— Bernama-Pa Media/dpa