Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Zara Qairina ditemukan dalam longkang, tidak sedarkan diri – Pengawal Keselamatan
  • MAHKAMAH

Zara Qairina ditemukan dalam longkang, tidak sedarkan diri – Pengawal Keselamatan

Utusan Sarawak 16 hours ago
SMKA Tun Datu Mustapha Limauan.

KOTA KINABALU: Seorang pengawal keselamatan memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini, yang dia menemukan Allahyarham Zara Qairina Mahathir terlentang di longkang dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tengkuknya berdarah, kira-kira 3.00 pagi pada 16 Julai lepas.

Linah Mansoding @ Jaliha, 65, yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar sejak 1 Julai 2012 berkata pada hari kejadian kira-kira 2.00 pagi, dia membuat rondaan di asrama perempuan Blok Rabiatul Adawiyah dan mendapati tiada sebarang insiden luar biasa berlaku.

“Saya kemudian bergerak ke blok asrama bersebelahan, iaitu Blok Sumayyah yang merupakan asrama perempuan untuk membuat rondaan seterusnya,” katanya yang bertugas dari 8.00 malam pada 15 Julai hingga 8.00 pagi, 16 Julai lepas.

Linah berkata kira-kira 3.00 pagi, semasa berada di asrama Blok Sumayyah, dia dimaklumkan oleh seorang pelajar ada seorang pelajar perempuan pengsan di longkang berhampiran Blok Rabiatul Adawiyah.

Wanita berkenaan berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya di hadapan Koroner Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan pada hari kelima prosiding inkues berhubung kematian remaja itu.

 “Saya terus bergegas ke asrama berkenaan dan mendapati seorang pelajar perempuan yang dikenali sebagai Zara terlentang di dalam longkang asrama dalam keadaan tidak sedarkan diri,” kata warga emas berkenaan.

Saksi keenam itu berkata dia kemudian segera menghubungi Ketua Warden Asrama Azhari Abd Sagap, dan memaklumkan mengenai kejadian tersebut, sebelum mengambil sekeping gambar mangsa dalam keadaan terlentang di dalam longkang.

“Setelah Ustaz Azhari sampai di lokasi kejadian, beliau segera menghubungi pihak hospital, dan ambulans tiba kira-kira 4.00 pagi. Pelajar tersebut telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk menerima rawatan,” kata Linah.

Wanita itu juga mengesahkan bahawa tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di blok asrama berkenaan, dan tiada palang besi di koridor bangunan asrama berkenaan.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, saksi berkata gambar mangsa yang diambil menggunakan telefon bimbitnya dihantar kepada empat guru dan ketua warden menerusi aplikasi WhatsApp.

Telefon itu kemudian diambil oleh pihak polis pada hujung Julai lepas untuk membantu siasatan kes.

Semasa disoal peguam Shahlan Jufri yang mewakili keluarga Zara Qairina, saksi berkata dia mengetahui mangsa ialah Zara Qairina kerana “memang sudah biasa dengan budak-budak di sana”.

Shahlan: Tadi, puan ada cakap seorang pelajar memberitahu mengenai kejadian itu. Boleh beritahu apa yang dia katakan?

Linah: Budak itu cakap, “Aunty, aunty, ada budak pengsan … saya pergi dekat tapi saya tak mahu pegang (mangsa) … saya takut … dia tidak sedarkan diri tapi masih bernafas.”

Beliau berkata ketika kejadian, kesemua pelajar di asrama masih tidur.

“Pelajar itu kelihatan takut. Saya tanya siapa yang pengsan, tetapi dia (pelajar) beritahu tidak dapat cam sebab dia rabun,” jelas saksi itu.

Menceritakan lebih lanjut, wanita itu berkata dia menghubungi Ustaz Azhari kerana tidak mempunyai nombor telefon Ketua Warden yang baharu, dikenali sebagai Cikgu Anis.

“Saya tidak hubungi Cikgu Anis, sebaliknya saya hubungi Ustaz Azhari. Beliau tinggal di rumah teres belakang asrama … sekali sahaja saya telefon, Ustaz Azhari terus menjawab panggilan,” katanya.

Shahlan: Masa Ustaz Azhari sampai, apa yang dia cakap?

Linah: Dia cakap, astaghfirullah al-Azim … kenapa ini? Saya cakap, saya pun tidak tahu Ustaz, saya sampai … dia jatuh sudah.

Linah memberitahu Ustaz Azhari menelefon beberapa cikgu wanita dan kemudiannya empat cikgu wanita dan pengetua sekolah tiba di lokasi kejadian dan mereka juga bertanyakan mengenai insiden berkenaan.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung esok.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.

Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4.00 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.– Bernama

Continue Reading

Previous: Inkues Zara Qairina: Saksi bawa patung simulasi ke mahkamah
Next: Kes Nur Farah Kartini: Pendakwaan selesai serah dokumen kepada pembelaan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.