
KUCHING: Usaha membela nasib komuniti Orang Yang Hidup dengan HIV (PLHIV) di Sarawak terus diperkasa menerusi sumbangan zakat RM300,000 oleh Tabung Baitulmal Sarawak kepada Yayasan AIDS Malaysia (MAF) Sarawak.
Setiausaha Kehormat Majlis AIDS Malaysia (MAC) dan MAF, Dr. Zaiton Yahaya, menyifatkan sumbangan oleh Tabung Baitulmal Sarawak bukan sahaja sebagai bantuan kewangan tetapi juga sebagai simbol harapan dan kelangsungan hidup buat komuniti PLHIV.
“MAF amat menghargai komitmen berterusan MIS terhadap usaha untuk membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh PLHIV.
“Sumbangan ini bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah membuka ruang dan peluang baharu kepada para penerima untuk membina semula kehidupan mereka sama ada dalam aspek keluarga, kerjaya atau masyarakat.
“Keprihatinan Tabung Baitulmal Sarawak merupakan manifestasi indah ajaran Islam yang mementingkan kasih sayang, empati dan tanggungjawab sosial tanpa prejudis,” katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka dan Penyampaian Sumbangan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS) di Teratak Kasih Tok Nan, hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Bolhasan Iskandar Taibi, sumbangan tersebut adalah cerminan tanggungjawab sosial dan amanah agama dalam membantu golongan yang sering terpinggir.
“Sumbangan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Majlis Islam Sarawak untuk menyantuni mereka yang memerlukan, termasuk komuniti yang hidup dengan HIV.
“Islam menuntut umatnya untuk bersikap adil, penyayang dan berempati terhadap semua insan, tanpa mengira latar belakang atau keadaan kesihatan.
“Kami percaya bahawa bantuan ini bukan sahaja selaras dengan nilai-nilai murni agama, malah merupakan satu amanah sosial yang wajar dipikul dengan penuh keinsafan,” ujarnya.
Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Bolhasan Iskandar Taibi kepada Penaung MAF Sarawak, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu, dalam majlis Rumah Terbuka MAF di Teratak Kasih Tok Nan.
Dana tersebut akan dimanfaatkan antaranya untuk subsidi ubat rawatan antiretroviral (ARV) bagi 20 penerima asnaf serta bantuan kos perjalanan rawatan kepada hampir 30 pesakit luar bandar.
Program itu dilaksanakan melalui Skim Bantuan Perubatan MAF dan inisiatif Sarawak Health Access Programme (SHAPE) yang menyasarkan PLHIV dari kawasan pedalaman.
Majlis yang dihadiri lebih 200 tetamu turut diserikan dengan penyampaian bakul makanan kepada 50 keluarga berpendapatan rendah sekitar Kuching.
Inisiatif itu diharap menjadi pemangkin kepada penglibatan institusi keagamaan lain untuk bersama-sama mendukung perjuangan membasmi HIV secara berperikemanusiaan.
Oleh Masrin Affirah