Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Zaid Ibrahim hina Sabah, Sarawak – Fazzrudin
  • TEMPATAN

Zaid Ibrahim hina Sabah, Sarawak – Fazzrudin

Utusan Sarawak 1 hour ago
DATO Fazzrudin Abdul Rahman

KUCHING: Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman mengecam keras kenyataan bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim, yang didakwa menghina kedudukan Sabah dan Sarawak serta mempertikaikan asas pembentukan Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Fazzrudin menyifatkan pandangan Zaid sebagai “sangat menyinggung perasaan, tidak berasas, dan amat tidak bertanggungjawab”.

“Ini hari yang menyedihkan bagi Malaysia. Ucapan ini datang daripada bekas Menteri Undang-Undang dan bekas Ahli Parlimen.” katanya dalam satu kenyataan di dalam laman Facebook beliau hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Zaid dalam sebuah podcast baru-baru ini, termasuk dakwaan bahawa Sabah dan Sarawak merupakan “beban”, gesaan supaya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dibatalkan, serta cadangan agar kedua-dua wilayah diberikan “kemerdekaan”.

Menurut Fazzrudin, kenyataan sedemikian bukan sahaja menghina rakyat Sabah dan Sarawak, malah menggugat asas perlembagaan negara.

“MA63 bukanlah mainan politik,” tegasnya.

Beliau menegaskan MA63 merupakan perjanjian antarabangsa yang mengikat semua pihak dan menjadi asas utama pembentukan Malaysia, justeru tidak boleh diketepikan atas dasar provokasi politik atau prejudis peribadi.

Tambah beliau, retorik yang menggambarkan Sabah dan Sarawak sebagai beban serta menggesa pengasingan wilayah adalah bersifat memecahbelahkan rakyat dan mampu mencetuskan permusuhan antara wilayah.

“Pendirian Sarawak adalah tegas dan tidak goyah. Kami tidak akan membenarkan sebarang cubaan untuk mencabar kedaulatan Malaysia dan hak Sarawak dalam rangka perlembagaan,” katanya.

Fazzrudin turut menyifatkan kenyataan Zaid sebagai provokasi yang mengancam keharmonian awam dan berpotensi menjejaskan struktur perlembagaan Persekutuan.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia dibina atas asas kerjasama dan tanggungjawab bersama, dan tidak wajar mana-mana individu mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat perpaduan rakyat.

“Menyifatkan dua wilayah Malaysia sebagai ‘beban’ bukanlah analisis politik. Ia adalah provokasi langsung. Saya secara keras menolak retorik berbahaya sebegini,” ujarnya.

Fazzrudin menegaskan Sarawak bersama rakyatnya kekal komited mempertahankan keharmonian, kedaulatan, dan integriti Persekutuan Malaysia.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Keluarga benteng sosial negara- Nancy

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.