
LINGGA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes buli di sekolah yang dilihat semakin membimbangkan dewasa ini.
Beliau menegaskan isu berkenaan perlu dipandang serius semua pihak khususnya ibu bapa dan pihak sekolah bagi memastikan tingkah laku serta aktiviti anak-anak sentiasa dipantau.
“Pendidikan adalah benteng masa depan generasi muda. Kita tidak boleh membiarkan masalah seperti buli dan ponteng sekolah memusnahkan masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Larian Amal Ulang Tahun ke-97 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Lingga hari ini.

Beliau turut menyuarakan kegusaran terhadap peningkatan kadar pelajar berhenti sekolah yang kini berada pada tahap membimbangkan.
Sehubungan itu, beliau komited mencari penyelesaian terbaik demi memastikan peluang pendidikan dan masa depan anak-anak di Lingga terus terjamin.
Program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJK Chung Hua Lingga dengan kerjasama Pertubuhan Che Chuan Khor Sri Aman itu bukan sahaja meraikan ulang tahun ke-97 sekolah malah bertujuan mengumpul dana pembangunan sekolah, memupuk semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti pelbagai kaum di kawasan tersebut.

Beliau berharap program seumpama itu dapat menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat serta menyemai gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda.
Oleh Adi Safarman