
KUCHING: Penganjuran Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) yang diadakan setiap dua tahun disifatkan sebagai usaha menyemarakkan industri kreatif dan memperkenalkan budaya Sarawak ke peringkat ASEAN.
Penerbit dan pengarah filem terkenal tanah air, Datuk Yusof Haslam berkata, “AIFFA dianjurkan setiap dua tahun sekali. Ia satu usaha yang baik untuk memperkenalkan industri filem dan pelancongan Sarawak kepada ASEAN dan khususnya Malaysia,” katanya ketika ditemui media semasa majlis perasmian AIFFA di sebuah hotel terkemuka, semalam.
Menurut beliau, festival itu juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara Sarawak dan negara-negara ASEAN serta mempamerkan keunikan budaya dan cara hidup di negeri ini.
“Bandar raya Kuching kini cantik, dengan pembangunan yang semakin lengkap termasuk lampu malam yang indah dan jambatan baharu. Inisiatif kerajaan negeri ini memang satu usaha baik untuk memperkenalkan Sarawak kepada dunia,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Yusof menzahirkan sokongan terhadap usaha kerajaan negeri membangunkan bakat filem tempatan, termasuk menerbitkan drama bersiri Gerak Khas 2.0 dengan kerjasama TVS.
Beliau berkata usaha itu bukan sahaja memupuk bakat baharu tetapi juga membuka peluang pelakon Sarawak berlakon di Semenanjung Malaysia dan sebaliknya.
“Kerjasama antara Skop Productions dan TVS adalah situasi menang-menang. Kita dapat memperkenalkan bakat Sarawak ke peringkat lebih luas, termasuk dalam drama dan filem komersial,” ujarnya.
Yusof juga menekankan prinsipnya dalam pembuatan filem, iaitu menerbitkan filem untuk penonton, bukan untuk diri sendiri, dan mengakui setiap projek filem adalah satu pertaruhan yang memerlukan dedikasi, strategi dan doa.
Beliau turut memuji filem-filem tempatan seperti Babah yang berjaya menambat hati penonton walaupun dengan bajet terhad, serta menekankan kepentingan kombinasi antara teori filem dan pengalaman praktikal untuk menghasilkan karya berkualiti.
Oleh Shikin Mahmud