Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • YSISS bukan untuk golongan elit – Dr. Annuar
  • PENDIDIKAN

YSISS bukan untuk golongan elit – Dr. Annuar

Utusan Sarawak 3 days ago
DR ANNUAR…Bersalaman bersama para pelajar menyertai pada Program Ke Arah Kejayaan DLP (Program Dwibahasa) DUN Nangka di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, UTS, hari ini.

SIBU: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee menegaskan bahawa Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) bukanlah institusi untuk golongan elit.

Sebaliknya, sekolah itu ditubuhkan bagi memberi peluang kepada pelajar cemerlang, khususnya dari kawasan luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah, untuk mendapat pendidikan bertaraf antarabangsa.

Menurut beliau, persepsi negatif yang mengaitkan sekolah antarabangsa milik kerajaan negeri sebagai eksklusif untuk golongan kaya adalah tidak berasas.

“Saya ingin menyangkal dakwaan bahawa sekolah YSISS bukan untuk anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah. Malah, sekolah ini sebenarnya diwujudkan khusus untuk mereka,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa setakat ini, tiada anak mana-mana wakil rakyat atau menteri yang menuntut di YSISS, membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan sekolah berkenaan benar-benar inklusif.

MODAL INSAN.…Para pelajar menyertai pada Program Ke Arah Kejayaan DLP (Program Dwibahasa) DUN Nangka di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, UTS, hari ini.

“Janganlah timbulkan persepsi bahawa kerajaan membina sekolah ini untuk golongan elit. Banyak sekolah antarabangsa swasta tumbuh bagaikan cendawan, tetapi hanya mampu diakses oleh anak-anak orang berada kerana yuran yang tinggi,” jelasnya.

Dr. Annuar berkata demikian ketika berucap pada Program Ke Arah Kejayaan DLP (Program Dwibahasa) DUN Nangka yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), hari ini.

Tambah beliau, golongan B40 tidak dikenakan sebarang bayaran untuk belajar di sekolah tersebut, manakala pelajar M40 hanya dikenakan yuran yang jauh lebih rendah berbanding sekolah antarabangsa swasta.

“Sekolah antarabangsa milik kerajaan ini dilengkapi pelbagai kemudahan moden seperti papan putih pintar, LCD, dewan berteknologi LED serta asrama yang diselia oleh warden khas tanpa membebankan guru,” katanya lagi.

Sehingga kini, Sarawak telah membina tiga daripada enam sekolah antarabangsa yang dirancang, termasuk di Petra Jaya, Batu 12 Jalan Kuching-Serian, dan terkini di Sibu.

Kampus baharu di Betong, Bintulu dan Miri pula dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr. Annuar turut menggesa ibu bapa dan pelajar supaya tidak melepaskan peluang menyertai YSISS.

“Tahun ini, lebih 700 pelajar dari DUN Nangka akan menduduki ujian penilaian khas. Saya berharap sekurang-kurangnya 50 hingga 100 orang daripada mereka berjaya masuk ke sekolah ini,” katanya.

Beliau turut meletakkan harapan tinggi kepada para guru yang terlibat dalam Program Ke Arah Kejayaan DLP (Program Dwibahasa) agar memberikan komitmen penuh bagi memastikan pelajar mendapat manfaat maksimum daripada pelaksanaannya.

“Saya percaya usaha ini mampu meningkatkan pencapaian akademik dan sahsiah pelajar dalam masa terdekat,” katanya.

Oleh Akun Giman

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Generasi muda pacu inovasi di Pameran Saintis Masa Depan
Next: UNIMAS-Bureau Veritas perkukuh kerjasama ke arah ekonomi hidrogen, kelestarian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.