


KUALA LUMPUR: Aksi lincah Inul Daratista di atas pentas sentiasa memukau penonton, menjadikan setiap persembahan ratu dangdut tersohor Indonesia itu sarat energi dan daya tarik yang sukar ditandingi.
Meskipun usia semakin meningkat, Inul atau nama sebenarnya Ainul Rokhimah, 46, berkata beliau masih bertenaga untuk menari dan menyanyi, membuktikan popularitinya tidak hanya bergantung pada nama, tetapi kekuatan stamina serta disiplin diri.
Berkongsi rahsia kekal bertenaga, penyanyi berasal dari Jawa Timur itu mengamalkan rutin kecergasan yang konsisten seperti yoga, pilates dan senaman di gimnasium, yang menurutnya menjadi kunci untuk terus aktif di pentas hiburan.
“Kalau boleh, bila usia bertambah kita semakin sihat. Saya lakukan yoga, pilates dan bersenam di gim, untuk kekal cergsa dan masih mampu tunjukkan goyang gerudi,” katanya pada sidang media Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millenial Dangdut Nusantara’ di sini.
Inul berkata sebagai penghibur yang masih aktif, beliau tidak boleh mengambil mudah soal kesihatan kerana aspek itu aset utama penghibur, terutama ketika membuat persembahan secara langsung.
“Saya perlu pastikan tubuh saya cergas, sebab kalau goyang tanpa tenaga memang tidak akan nampak bertenaga. Nyanyi dangdut perlukan tenaga besar (banyak), jadi kesihatan memang nombor satu,” jelasnya.
Dalam pada itu, selepas hampir dua dekad menyepi dari pentas konsert di Malaysia, Inul bakal kembali memanaskan gelanggang hiburan tanah air pada 6 Disember depan di Setia Spice Arena, Pulau Pinang.
Konsert anjuran Fajar Baiduri Empire dengan sokongan Istana Budaya melalui Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) itu dijangka turut menampilkan penyanyi popular tanah air, Amelina dan Baby Shima selain persembahan kumpulan Mohram.
Bagi pelantun lagu Goyang Inul dan Mawar Putih itu, peluang kembali ke Malaysia sudah lama dinantikannya selepas kali terakhir tampil dalam konsert berskala besar di Stadium Malawati Shah Alam pada 2007.
“Saya gembira akhirnya kembali ke sini untuk sebuah konsert besar. Sudah terlalu lama saya menanti peluang ini. Hati saya rindu dengan aura penonton Malaysia yang sangat bersemangat,” katanya yang pernah menjayakan Konsert Fenomena Dangdut di Stadium Merdeka pada 2005 serta persembahan di Genting Highlands pada 2006.
Jualan tiket konsert itu telah dibuka sejak semalam (9 September) pada harga RM78 hingga RM488 menerusi www.myticket.asia.– Bernama