
KUALA LUMPUR: Program Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Kasih Ramadan: HER Journey diadakan sebagai platform intervensi menyeluruh dan berfokus kepada remaja perempuan yang sedang melalui fasa kehidupan mencabar.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, yang juga Pengerusi YKN berkata, program itu dirangka sebagai satu perjalanan membina jati diri, harapan dan kekuatan dalaman dalam kalangan peserta kerana golongan berkenaan tidak boleh dibiarkan berjalan sendirian.
“Dalam kita menikmati Ramadan bersama keluarga, kita juga perlu sedar bahawa terdapat remaja perempuan yang sedang melalui fasa kehidupan yang mencabar… mereka berada dalam tempoh penting pembentukan jati diri yang memerlukan sokongan, keyakinan dan kestabilan emosi.
“Mereka memerlukan bimbingan dan peluang untuk membina semula kekuatan diri serta melangkah ke hadapan dengan lebih yakin,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program itu di sini hari ini.
Program itu menghimpunkan 100 peserta Program Anjung Sinar YKN berusia antara 15 hingga 19 tahun yang terdiri daripada anak yatim, mangsa penderaan atau pengabaian serta remaja di bawah Perintah Mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Antara pengisian utama program dua hari yang bermula hari ini termasuk sesi pendedahan risiko jenayah seksual oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia SAC Siti Kamsiah Hassan serta slot inspirasi Journey of Hope bersama dengan pelakon Wan Sharmila dan penceramah bebas Ustazah Muzayannah Abdullah.
Nancy berkata program itu selaras dengan penerapan nilai teras K.A.S.I.H yang diperkenal oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu Kasih Sayang, Akhlak Mulia, Sihat, Ilmu dan Harmoni sebagai asas membentuk komuniti seimbang, inklusif serta mampan secara holistik. – Bernama