Mencipta nama dan kukuh seperti yayasan lain, bukan senang bagi Yayasan Karnaen (YK9) untuk memiliki kejayaan, kerana usia yayasan itu masih ‘muda’.
Namun, sebelum bertapak seperti sekarang, YK9 telah melalui pelbagai cabaran dan segala kekangan itu ditempuhi dengan sabar dan komitmen dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.
Berdasarkan sikap saling mempercayai dalam apa jua tindakan diambil, dua rakan niaga yang sudah mengenali sekian lama, nekad menubuhkan Yayasan Karnaen pada Mei 2018.
Sejak awal penubuhan, yayasan itu memfokus tiga aspek penting iaitu pendidikan, kesihatan dan sukan, sejajar dengan perkembangan dan kemajuan negara.
Diterajui oleh Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif dan Pemegang Amanah, Yayasan Karnaen, Hazizulkarnaen Hassan bersama rakannya yang juga Pengasas Bersama merangkap Pengerusi Bersama dan Pemegang Amanah, Abdul Shukur Mohd Zain, berganding bahu menjalankan amanah dan tanggungjawab terhadap yayasan.
Dianggarkan dana RM1 juta untuk merealisasikan YK9, ia adalah hasil titik peluh perniagaan yang mereka jalankan sejak mula membabitkan diri dalam bidang itu, akhirnya merealisasikan impian dan cita-cita rakan niaga itu.
Tiga aspek utama Menurut Abdul Shukur, tiga aspek penting yang menjadi fokus YK9 itu adalah selari dengan inisiatif Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mahu melihat sukan dan kesihatan seimbang ke arah melahirkan modal insan (rakyat Sarawak) yang berilmu dan berpengetahuan tinggi, iaitu pendidikan.
Shukur amat meminati negeri Sarawak kerana Bumi Kenyalang mempunyai masyarakat yang peramah, berbudi bahasa, budaya unik dan memiliki banyak keistimewaan yang boleh diketengahkan ke persada antarabangsa.
“Oleh itu, amat rugi jika kita tidak memanfaatkan keunikan dan keistimewaan Sarawak dengan mengadaptasikan sukan, kesihatan dan pendidikan kepada masyarakat khususnya golongan muda di bandar mahupun kawasan luar bandar,” katanya.
Shukur memberitahu, ekoran tertarik dengan keindahan Sarawak, maka mereka memilih negeri ini sebagai negeri pilihan untuk projek perintis YK9.
Bakat anak muda Sarawak katanya mempunyai ramai anak muda berbakat dalam bidang sukan khususnya di bandar mahupun luar bandar namun kurang digilap kepakaran mereka.
Lantas dengan adanya YK9 ini, bakat golongan muda dapat dikenal pasti terutama di luar bandar menerusi peranan yang dimainkan oleh yayasan.
Justeru, YK9 juga ‘bertandang’ ke luar bandar untuk mengenal pasti kepakaran dan kebolehan anak-anak muda dalam bidang berkenaan supaya boleh diketengahkan bukan sahaja di peringkat domestik malah ke luar negara termasuk negara-negara Asean seperti Indonesia, Filipina, Brunei, Singapura dan negara-negara maju lain.
Beliau menjelaskan, matlamat YK9 ini bukan berdasar keuntungan sebaliknya tanggungjawab sosial korporat (CSR) menjadi keutamaan untuk membantu masyarakat terutama golongan kurang berkemampuan meneruskan rutin harian.
“Yayasan juga bersedia untuk membantu golongan sasar luar bandar iaitu mereka yang kurang berkemampuan termasuk wanita yang mengusahakan perniagaan kecil-kecilan. Kita bersedia membantu mereka dari segi bimbingan, nasihat serta khidmat berhubung perniagaan dan proses pemasaran produk dan sebagainya.
“Matlamat kita mahu membantu mereka (usahawan) untuk meningkatkan lagi perniagaan dengan kaedah dan pendekatan sesuai selain bersedia menghadapi cabaran berniaga,” katanya.
Sedia kerjasama Lantas, bagi merealisasikan hasrat itu, Hazizulkarnaen Hassan memberitahu, YK9 antara yayasan termuda di negeri dan negara ini, akan dan sedia berkolaborasi dengan pihak korporat lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun persatuan-persatuan sukan dan sebagainya.
Menurut Pengasas YK9, pihaknya berkolaborasi dengan Persatuan Sukan Papan Selaju Negeri Sarawak (SKA), AX Academy (AXIS FC) dan juga Persatuan Bola Sepak Kuching (Kuching FA).
Menurut Hazizulkarnaen, aktiviti yang dijalankan dengan kerjasama SKA merupakan aktiviti terawal YK9 sebelum menganjurkan program seterusnya dengan persatuan-persatuan lain pada masa akan datang.
Selain itu, katanya, YK9 juga dalam perancangan untuk mengadakan kerjasama dengan Persatuan Tenpin Bowling Para Negeri Sarawak (PTBPNS) khususnya dalam bidang sukan dan Persatuan Bagi Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Sarawak (PERKATA) dan Pusat Pemulihan Orang Kelainan Upaya (OKU) Samarahan bagi menganjurkan program yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Menurutnya, sejak ditubuhkan, YK9 sudah menjalankan program CSR di luar negara seperti Kemboja dan Indonesia bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Selain penganjuran program dalam negara, kita juga melebarkan sayap ke negara-negara luar khususnya negara ASEAN bagi melaksanakan projek CSR,” katanya.