Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • ‘Yellow journalism’ kembali menghantui dalam era digital
  • SEMASA

‘Yellow journalism’ kembali menghantui dalam era digital

Utusan Sarawak 2 days ago
GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR: Fenomena ‘yellow journalism’ atau kewartawanan kuning, yang pernah melanda industri media pada abad ke-19, kini kembali menghantui dunia digital. Bezanya, ia tidak lagi terpampang di muka depan akhbar, sebaliknya menjelma menerusi skrin telefon pintar melalui platform media sosial.

‘Yellow journalism’ merujuk kepada pelaporan berita yang sensasi, berat sebelah dan sering membesar-besarkan sesuatu isu dengan tujuan menarik perhatian serta meningkatkan jualan. Taktik yang digunakan termasuk tajuk utama yang dramatik, kandungan kontroversi dan penggunaan imej yang mengeksploitasi unsur sensasi secara berlebihan.

Prinsip asas kewartawanan seperti ketepatan fakta, keseimbangan laporan dan integriti sumber sering kali diketepikan demi meraih jumlah trafik yang tinggi.

Pengarah Program Doktor Falsafah Komunikasi dan Pengajian Media, School of Media and Communication Taylor’s University Dr Nur Haniz Mohd Nor berkata fenomena ‘yellow journalism’ dalam era digital bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Beliau berkata tekanan komersial dan persaingan di platform digital menjadi antara pendorong utama kepada peningkatan kandungan sensasi, menjadikan unsur yellow journalism semakin ketara dan sukar dipisahkan daripada arus pemberitaan masa kini. 

“Berita yang diberi tajuk menarik, provokatif atau sensasi terbukti mampu meningkatkan trafik portal berita dan mencetuskan interaksi tinggi di media sosial,” katanya.

Berdasarkan laporan media, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengambil tindakan menurunkan sebanyak 10,493 kandungan palsu yang tular di platform dalam talian sepanjang tempoh Januari hingga 15 April tahun ini.

Nur Haniz berkata teknologi khususnya algoritma media sosial, mempercepat penyebaran berita sensasi dengan mengenal pasti minat pengguna dan memaparkan kandungan serupa secara berulang.

“Keadaan ini menyebabkan pengguna terperangkap dalam ‘gelembung maklumat’ (echo chamber), di mana mereka hanya terdedah kepada satu perspektif, sekali gus menyuburkan amalan yellow journalism tanpa disedari,” jelas Nur Haniz.

Katanya, situasi itu menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap media arus perdana yang kini berdepan cabaran besar dalam mengekalkan kredibiliti dan pengaruh, apatah lagi masih ramai yang kurang peka bahawa setiap maklumat yang diterima perlu disemak terlebih dahulu. 

Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ahmad Faisal Mohamed Fiah berkata unsur sensasi dalam pemberitaan bukanlah satu kesalahan mutlak.

Beliau berkata unsur sensasi menjadi tidak beretika apabila ia digunakan untuk menokok tambah fakta, menyeleweng maklumat, atau hanya ingin menonjolkan sisi negatif semata-mata mahu meraih capaian tinggi di media sosial.

“Berita sememangnya perlu menarik perhatian kerana persaingan yang tinggi, namun sensationalism tidak seharusnya merujuk kepada perkara yang sengaja diperbesarkan, ditokok tambah atau diseleweng hanya untuk mencetuskan sensasi,” jelasnya.

Beliau berpandangan bahawa industri media kini sedang mengharungi tekanan komersial yang jauh lebih mencabar berbanding dahulu, susulan kemunculan ribuan portal berita alternatif dan pencipta kandungan bebas yang tidak terikat kepada piawaian kewartawanan profesional.

Katanya meskipun corak pembacaan masyarakat telah berubah, media arus perdana perlu bijak menyesuaikan pendekatan agar kekal relevan tanpa mengorbankan integriti dan kredibiliti.

Menyedari pesatnya perkembangan teknologi dalam bidang kewartawanan, sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini mengetengahkan tema “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika.”

HAWANA 2025 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 13 hingga 15 Jun, dengan acara kemuncaknya pada 14 Jun akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Lebih 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara dijangka hadir.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Hasil pertanian tempatan tidak dikenakan cukai jualan di bawah peluasan SST
Next: Buat senarai semak ibadah haji sebelum pulang ke Malaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.