SETIAP kali perayaan Tahun Baharu Cina, hidangan wajib Yee Sang yang menjadi penyeri dalam acara makan besar bersama keluarga tersayang.
Sambutan perayaan tersebut dilihat seolah-olah tidak lengkap tanpa hidangan Yee Sang.
Dengan campuran hirisan sayur-sayuran seperti lobak merah dan lobak putih, halia, kepingan ikan mentah serta kekacang yang ditumbuk, ditambah dengan sos plum dan jus limau, menjadikannya begitu menyelerakan bagi sesiapa sahaja yang bertuah dapat menikmatinya.
Berkongsi cerita tentang Yee Sang, Andrew Liu memberitahu, Yee Sang adalah antara hidangan tradisi mempunyai maksud tersendiri berdasarkan bahan yang digunakan, sejarah dan sebutan nama makanan itu.
Menurutnya, berdasarkan kepercayaan masyarakat Cina, terdapat beberapa jenis makanan tradisional termasuk Yee Sang yang dilihat sebagai simbol kepada kemewahan, kekayaan, kebahagiaan dan kemakmuran.
“Dalam bahasa Cina, Yee adalah bermaksud ikan mempunyai persamaan sebutan dengan perkataan senang. Manakala, Sang bermaksud mentah yang sering disamakan dengan kelahiran semula.
“Jadi, kami percaya dengan memakan Yee Sang seseorang akan diberkati dengan kesejahteraan dan dipanjangkan umur serta dilimpahi kebaikan dan dikurniakan tuah tidak kira bidang yang diceburi,”jelasnya.
Liu memberitahu, berdasarkan cerita orang tua-tua idea menghasilkan Yee Sang muncul ketika zaman Dinasti Song kerana terdapat lebihan makanan seperti keropok, lobak merah, lobak putih, limau bali, halia dan sebagainya selepas merayakan Tahun Baharu Cina.
“Disebabkan tidak mahu membazir, mereka mencampurkan saki baki makanan itu dan ditambah dengan perasa seperti sos plum, lada hitam dan putih serta minyak untuk membangkitkan rasa.
“Simbolik menggaul Yee Sang kebiasaannya dilakukan pada hari ketujuh kerana bagi memperingati ‘Ren Ri’ iaitu ‘Hari Manusia’ berkaitan dengan mitos Dewi Nu Wa itu, yang turut membawa maksud kelahiran semula,” katanya.
Beliau berkata, Yee Sang disajikan sebagai hidangan pembuka selera yang melambangkan simbol penyatuan dan murah rezeki.
“Amalan lou hei dilakukan sebelum makan dengan semua orang berkumpul mengelilingi meja dan akan menggaul serta melambung isi Yee Sang.
“Kami percaya bahawa semakin tinggi Yee Sang itu diangkat dan digaul, maka lebih banyak kemakmuran yang bakal dinikmati sepanjang tahun,” ujarnya.
Selain kemakmuran yang ingin dicapai, masyarakat Cina turut percaya bahawa perkataan lou hei dilaungkan dengan harapan ia dapat memberi kesihatan lebih baik kepada seseorang.
Yee Sang dipercayai mula dihidangkan kira-kira 1,500 tahun lalu di kawasan pantai selatan China terutamanya di wilayah Chaozhou dan Shantou semasa pemerintahan Dinasti Song.
Ia juga dikaitkan dengan legenda atau mitos iaitu Dewi Nu Wa yang kononnya mencipta manusia pada hari ketujuh selepas tahun baharu dan hidangan Yee Sang disediakan oleh kaum nelayan dan pelaut China Selatan bagi memperingati kisah itu.
Oleh AKUN GIMAN