PEMBINAAN projek Jambatan Batang Lassa di Daro.
SETIAP Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini diberi peruntukan RM2 juta setahun untuk melaksanakan pelbagai Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di kawasan masing-masing.
Ia adalah untuk ADUN mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu seramai 76 daripada jumlah 82 ADUN, jumlah terkini berdasarkan keputusan pada pilihan raya negeri (PRN) Disember lalu.
Bagi Ahli Parlimen pula, kerajaan Sarawak memberi peruntukan RM1 juta setahun. Peruntukannya separuh daripada peruntukan untuk ADUN tetapi kawasan diwakili dua kali ganda lebih besar.
Contohnya, Ahli Parlimen Igan terpaksa menjaga dua DUN iaitu Daro dan Jemoreng. Pandai-pandailah mengagihkan peruntukan cuma RM1 juta di dua kawasan DUN. Begitu juga Ahli Parlimen lain di negeri ini. Malah ada Ahli Parlimen yang mempunyai tiga kerusi DUN di kawasan Parlimen masing-masing.
Namun, ia hanya membabitkan peruntukan untuk Ahli Parlimen GPS yang kini jumlahnya 19.
GPS adalah gabungan empat parti tempatan Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Pada PRU 2018, PBB memenangi 13 kerusi Parlimen, PRS (tiga), PDP (dua) manakala SUPP (satu).
Namun, Kerajaan Persekutuan ada juga memberi peruntukan untuk setiap Ahli Parlimen atas nama Projek Mesra Rakyat (PMR) yang sepatutnya RM2 juta setahun tetapi hingga kini baharu RM1 juta diluluskan.
Ini berikutan Memorandum Persefahamam (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang ditandatangani pada 13 September tahun lalu menyebabkan semua Ahli Parlimen pembangkang juga mendapat peruntukan yang sama seperti wakil rakyat kerajaan.
Tetapi tidak pasti sampai bila. Ada yang kata sampai akhir Julai ini.
Namun, ahli jawatankuasa rundingan dan pelaksana MoU itu, Tan Sri Annuar Musa kata MoU yang dimaksudkan tiada
tarikh tamat.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata MoU tersebut menyatakan bahawa kerajaan dan PH bersetuju untuk tidak mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebelum 31 Julai ini.
“MoU itu tiada tarikh tamat, banyak orang silap faham, itu kena perbetulkan, yang ada tarikh akhir itu tarikh pilihan raya (umum) dipersetujui tidak diadakan sebelum akhir bulan Julai, sebelum 31 Julai.
“Tetapi MoU bersama Ahli-Ahli Parlimen termasuk pembangkang dengan kerajaan khususnya Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tiada tarikh tamat dan ia MoU memberi sokongan kepada Perdana Menteri sehingga Parlimen dibubarkan, bila dibubarkan itu terpulang kepada Perdana Menteri dan pimpinan untuk menentukan,” katanya seperti dilaporkan media sebelum ini.
Berbalik kepada peruntukan MRP, projek besar membabitkan peruntukan secara terus daripada kerajaan Sarawak adalah seperti pembinaan jalan raya, jambatan, projek Rumah Spektra Permata (RSP), projek tebingan sungai, projek pembesaran kampung dan lain-lain. Ini dinamakan sebagai Projek Rakyat kerana kelulusan secara langsung daripada YAB Premier Sarawak.
Kebanyakan projek besar seperti itu menelan kos tinggi dan melebihi RM1 juta. Malah, pembinaan lapan atau sembilan projek jambatan sahaja menelan kos RM5 bilion.
Sebab itulah rakyat tertunggu-tunggu kunjungan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari ke kawasan atau kampung mereka kerana ada saja ‘buah tangan’ dalam bentuk projek besar diberi.
Dengan peruntukan RM2 juta setahun untuk MRP bagi setiap ADUN dan RM1 juta setahun bagi Ahli Parlimen, maka projek pembangunan berjalan lancar.
Sebelum ini, tidak ada peruntukan khusus setiap tahun seperti itu.
Sebab itulah, kita dapat melihat dan merasai sedikit sebanyak projek kecil luar bandar dibawa oleh wakil rakyat. Semua peruntukan itu adalah sama rata di semua kawasan diwakili ADUN atau Ahli Parlimen GPS.
Kerajaan Sarawak sekarang ada duit. Bayangkan negeri ini sudah mengutip RM8.52 bilion hasil Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum dan gas dalam tempoh tiga tahun sejak 1 Januari 2019 hingga akhir tahun lalu.
Jumlah kutipan itu dijangka terus meningkat berikutan lonjakan harga minyak mentah dunia tahun ini. Harga minyak mentah Brent kini berada di sekitar AS$122 setong, berbanding AS$78 setong akhir tahun lalu iaitu kenaikan kira-kira 36 peratus.
Dengan hasil ‘luar jangka’ itu juga, kerajaan Sarawak mengembalikan ‘kekayaan’ untuk turut dikongsi rakyat.
Keadaan ini juga menyebabkan ADUN zaman sekarang nampak menyerlah ‘membawa pembangunan’ ke kawasan masing-masing jika dibandingkan dengan ADUN sebelum ini, kerana kerajaan ada duit.
Disebabkan rezeki melimpah itu, sudah tidak perlu ‘report card’ (kad laporan) mana-mana ADUN untuk menunjukkan ‘kegigihan’ membawa pembangunan di kawasan masing-masing kerana peruntukan sudah sedia ada untuk semua ADUN GPS kecuali mereka berjaya mendapat sumbangan luar sebagai tambahan.
Pejabat Premier Sarawak sendiri sudah tahu, sebab peruntukan sudah dan akan diagihkan saban tahun. Cuma ADUN perlu menyelaras mana-mana projek yang perlu diutamakan untuk kepentingan rakyat di kawasan masing-masing.
Sebab itulah kadang-kala ‘sumbangan’ projek pembangunan dibawa ADUN nampak menyerlah berbanding dibawa oleh Ahli Parlimen kerana peruntukan MRP untuk ADUN lebih tinggi berbanding Ahli Parlimen.
Mungkin sesetengah rakyat tidak melihat perkara ini secara objektif dan rasional apabila membandingkan sumbangan projek oleh ADUN dan Ahli Parlimen.
Namun, niat mereka tetap sama iaitu untuk mencurah sebanyak mungkin projek di kawasan masing-masing.
Di sesetengah kawasan, dikatakan ada ADUN tidak boleh bekerjasama dengan Ahli Parlimen dan lebih rumit apabila berlaku permainan ‘tikam dari belakang’ sesama sendiri dalam GPS.
Keadaan ini tidak sihat dan boleh memecah-belahkan perpaduan terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), yang mungkin diadakan sekitar September/Oktober ini.
Kita tidak mahu episod letak jawatan ketua masyarakat dan ketua kaum seperti berlaku di kawasan N44 Jemoreng baru-baru ini, berterusan.
Carilah jalan penyelesaian secara baik. Letakkan kepentingan parti dan rakyat daripada kepentingan peribadi.
Kita jangan bawa budaya politik Semenanjung ke Sarawak. Kita kekalkan politik harmoni, biar tidak sependapat dalam isu tertentu, tetapi kebersamaan serta muhibbah dalam kalangan masyarakat majmuk perlu diserlahkan.
Sokonglah sesiapa sahaja diletakkan sebagai calon GPS pada PRU-15 nanti.
Kekalkan kemenangan besar GPS untuk terus menjadi ‘king maker’ bukan sahaja bagi menentukan parti mana memerintah Kerajaan Pusat, malah siapa Perdana Menteri (PM) ke-10 nanti, seperti mana GPS main peranan penentu PM8 dan PM9 sebelum ini.
Biarlah Sarawak terus memegang kad ‘joker’ dalam spektrum ‘politics of federalism’ supaya memudahkan usaha kita mendapat kembali hak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak