NICKELYSON LAKUN
KOTA SAMARAHAN: Yayasan Sarawak sedia menawarkan biasiswa kepada graduan program perubatan bagi mengikuti kursus lanjutan dalam bidang kepakaran tertentu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini kerana negeri ini memerlukan sekurang-kurangnya 200 doktor dalam jangka masa lima tahun akan datang.
Katanya, kesediaan kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak menawarkan biasiswa adalah bagi memenuhi keperluan doktor pakar.
Beliau berkata, ini juga memandangkan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bakal mempunyai hospital tersendiri.
“Ini juga akan memudahkan graduan perubatan menjalani ‘housemanship’, (latihan bagi doktor),” katanya pada sidang media selepas selesai Sidang 2 Konvokesyen Unimas di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, dari sudut nisbah doktor kepada populasi negeri, angkanya masih rendah.
“Kita juga sedang berbincang untuk menubuhkan pusat perubatan kanser dan memerlukan kepakaran doktor dalam bidang perubatan kanser.
“Sebagai contoh dari segi penyakit jantung, sudah ada penyelesaiannya. Tidak seperti sebelum ini perlu melakukan pintasan (bypass) kini terdapat kaedah atau peranti baru untuk mengesan penyakit jantung.
“Seperti di syarikat samsung mereka membuat kajian untuk menghasilkan ubat yang boleh menembusi sel kanser yang disasarkan. Mengikut susunan dan ia tidak merebak ke sel lain.
“Oleh itu, adalah baik untuk kita mempunyai doktor untuk mengambil kursus mengenai perkara seperti ini dan itu akan menjadikan Sarawak sebagai hab perubatan untuk seluruh negara,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa Sarawak sanggup menggunakan dana sendiri untuk menubuhkan pusat kanser yang dirancang dibina di Samarahan dengan menawarkan pinjaman RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan itu.
Katanya, kepakaran dan penyelidikan Unimas diharap dapat memperbanyakkan penyelidikan dan inovasi yang memfokuskan kepada kemakmuran ekonomi, kelestarian alam sekitar dan komuniti inklusif yang ada di Sarawak.
Pada konvokesyen kali ini, seramai 35 penerima biasiswa Yayasan Sarawak bagi program perubatan yang merupakan kumpulan pertama telah menerima Ijazah Sarjana Muda.