SIBU: Anak muda terutama dari kalangan keluarga kurang berkemampuan masih berupaya untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi dengan bantuan kerajaan melalui Yayasan Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata, pendidikan adalah kunci kepada kejayaan kerana melalui ilmu dakan dapat menyumbang ke arah membantu negeri ini membangun dengan lebih pesat.
“Oleh itu, gedong ilmu yang disediakan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Kita melabur dan tanggung kos operasi universiti untuk kejayaan anak-anak khususnya di Sarawak.
“Lebih RM20 juta telah disumbangkan kerajaan Sarawak kepada penuntut di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dalam usaha menyediakan peluang pengajian kepada pelajar,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan sesi perjumpaan Premier Sarawak bersama pelajar penerima biasiswa kerajaan Sarawak, di UTS, di sini, petang tadi.
Abang Johari berkata, apa yang paling penting ialah menyediakan peluang kepada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.
“Kita tahu ada dalam kalangan mereka yang tidak berkemampuan untuk menyambung pengajian disebabkan kekangan dari segi kewangan dan sebagainya.
“Oleh itu, menerusi bantuan yang diberikan kerajaan melalui Yayasan Sarawak sedikit sebanyak membantu mereka mencapai cita-cita, sekali gus menjadi modal insan untuk membangunkan ekonomi negeri kita.
“Disebabkan itu, kita tubuhkan ‘Dana Kekayaan Kedaulatan’ untuk rakyat bagi memberi pendidikan secara percuma kepada semua anak-anak di Sarawak,” katanya.