MIRI: Yayasan Petronas, cabang tanggungjawab sosial korporat Petronas, menyumbang empat unit Alat Bantuan Pernafasan (Ventilator) kepada Hospital Miri bagi menyokong usaha pasukan kesihatan membendung risiko penularan wabak Covid-19.
Sumbangan itu diserahkan Pengurus Besar Kanan Petronas Sarawak Morris Mail kepada Pengarah Hospital Miri, Dr Jack Wong yang disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin di hospital itu semalam.
Selain Miri, empat hospital lain iaitu Hospital Umum Sarawak Kuching, Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Samarahan dan Hospital Bintulu turut menerima sumbangan alat tersebut.
Menurut Morris, sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada sumbangan RM20 juta Yayasan Petronas untuk bekalan dan peralatan perubatan yang diumumkan pada 23 Mac lalu.
Jelas beliau, sumbangan itu dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
“Kami berharap sumbangan itu dapat membantu hospital di Sarawak berdepan cabaran mengekang Covid-19 dan ini adalah selari dengan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami bagi memperbaiki kesejahteraan komuniti,” katanya.
Pada awal Mei lalu, Yayasan Petronas telah menyumbangkan tujuh buah katil di unit rawatan rapi (ICU) kepada Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Miri, Hospital Sarikei, Sibu dan Bintulu.
Selain itu, Petronas juga menerusi MLNG, Petronas Carigali Sdn Bhd-Sarawak Oil (PCSB-SK), Petronas Carigali Sdn Bhd-Sarawak Gas (PCSB-SK Gas) menyumbang alatan pensanitasi dan kimia bernilai RM24,000 kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk melaksanakan sanitasai awam di bangunan dan tempat awam di bandar dan pekan utama di negeri ini.
MLNG, PCSB-SK dan PCSB-SK Gas juga menyumbang penutup mulut dan hidung, pensanitasi tangan, sarung tangan getah dan air mineral kepada lebih 1,000 barisan hadapan kesihatan dan penguatkuasa di Bintulu dan Miri.
Baru-baru ini, Yayasan Petronas dan subsidiari Petronas di Miri dan Bintulu telah menyumbangkan pelitup muka, cecair pencuci tangan, dan “manual dispenser” kepada sekolah di Miri dan Bintulu yang memanfaatkan lebih 20,000 pelajar dan guru.
Oleh Liong Chai Ling