
MUKAH: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sarawak kini berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat profesional menerusi skim pembiayaan penuh yang ditawarkan oleh Yayasan Peneraju (YP), agensi di bawah Kementerian Ekonomi.
Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato’ Hanifah Hajar Taib berkata skim tersebut memberi laluan kepada pelajar untuk mengikuti pensijilan profesional seperti Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) dan Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW), lengkap dengan pembiayaan yuran, peperiksaan dan elaun sepanjang pengajian.
“Bila kita dengar tentang kursus profesional, ada yang takut sebab anggap susah dan mahal. Melalui skim Yayasan Peneraju ini, ia akan dipermudahkan.
“Lebih 7,000 pelajar SPM seluruh negara sudah mendaftar. Ini peluang besar yang harus direbut oleh anak-anak Sarawak,” katanya berucap semasa menyempurnakan Majlis ‘Jom Explore! Why Not YP?’ anjuran Yayasan Peneraju yang berlangsung di Mukah Digital Innovation Hub, di sini, semalam.
Beliau turut menggesa ibu bapa agar memainkan peranan aktif memberi galakan kepada anak-anak dalam merancang masa depan melalui bidang profesional yang ditawarkan.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh inisiatif kerajaan Sarawak untuk memperkenalkan pendidikan percuma di lima institusi pengajian tinggi bermula tahun depan.
Langkah ini menurutnya, adalah selaras dengan hasrat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memperkukuh tenaga kerja berkepakaran tinggi dalam bidang Sains dan Matematik ke arah menyokong agenda ekonomi hijau negeri.
Institusi terlibat ialah Universiti Curtin Miri, Universiti Swinburne Kuching, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS serta Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di Mukah dan Dalat dengan syarat pemohon adalah anak Sarawak yang layak tanpa mengira kaum atau latar belakang.
-UKAS