
PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilantik sebagai Penaung Yayasan Jantung Sarawak berkuat kuasa mulai 15 April lalu.
Pelantikan tersebut dimaklumkan ketika beliau menerima kunjungan hormat delegasi Yayasan Jantung Sarawak di pejabatnya di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Kunjungan berkenaan turut bertujuan memperkenalkan barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Jantung Sarawak yang baharu selain menyerahkan surat pelantikan rasmi kepada Abang Johari.
Dalam pertemuan itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian yang turut dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Jantung Sarawak, menyerahkan surat pelantikan berkenaan kepada Abang Johari.
Menurut yayasan itu, pelantikan berkenaan merupakan tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap komitmen serta kepimpinan Abang Johari dalam menyokong usaha memperkasakan kesihatan rakyat di Sarawak.
Sesi perbincangan turut menyentuh mengenai peranan dan hala tuju Yayasan Jantung Sarawak dalam meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan penjagaan kesihatan jantung serta pencegahan penyakit kardiovaskular.
Selain itu, perbincangan turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan program pendidikan dan kebajikan yang dapat memberi manfaat kepada rakyat di seluruh Sarawak.
Pertemuan tersebut juga menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama strategik antara Yayasan Jantung Sarawak dan kerajaan Sarawak dalam memperluaskan inisiatif kesihatan awam serta memperkasakan agenda kesejahteraan rakyat menerusi pelbagai program dan aktiviti pada masa hadapan.