BINTULU: Yayasan Bintulu Port menaja kelengkapan persekolahan untuk seramai 200 murid daripada keluarga kurang berkemampuan dari tiga sekolah rendah terpilih di Bintulu menerusi program Back to School 2025 – Bintulu Port Prihatin.
Program melibatkan murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, SK Orang Kaya Mohammad, dan SK Tanjung Batu, dibawa membeli keperluan sekolah dengan bantuan sukarelawan daripada kakitangan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani berkata, aktiviti seumpama ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan yang menyediakan kelengkapan sekolah untuk sesi akademik tahun hadapan melalui kerjasama strategik bersama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bintulu.
“Program Back to School adalah salah satu inisiatif strategik di bawah Yayasan Bintulu Port Holdings yang menzahirkan komitmen kami terhadap pembangunan masyarakat setempat, terutama dalam sektor pendidikan.
“Matlamat utama program ini adalah untuk membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan persediaan kelengkapan sekolah bagi anak-anak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengurus Besar Perhubungan Pihak Berkepentingan BPHB, Maslihah Tioh pada Program Back to School 2025 – Bintulu Port Prihatin di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurutnya, sokongan itu juga bertujuan memastikan tiada murid yang tercicir daripada sistem pendidikan akibat kekangan kewangan.
“Seperti yang pernah disebut oleh Menteri Pendidikan, salah satu faktor utama keciciran pelajar adalah kekurangan kemampuan kewangan.
“Namun, kita semua perlu percaya bahawa pendidikan adalah kunci untuk masa depan yang cerah.
“Anak-anak, dengan sokongan dan peluang yang tepat, berpotensi menjadi pemimpin masa hadapan yang mampu mengubah nasib keluarga mereka sekali gus menyumbang bakti kepada masyarakat,” jelasnya.
Tambah beliau, kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam, beg sekolah, kasut, dan alat tulis adalah penting kerana ia melambangkan disiplin dan kesiapsiagaan murid untuk pembelajaran yang penuh keyakinan.
“Dengan adanya inisiatif seperti ini, kita dapat memastikan tiada anak-anak kita yang tercicir daripada arus pendidikan disebabkan kekangan kewangan,” ujarnya.
Program Back to School yang telah diperkenalkan sejak 2012 telah banyak membantu murid-murid daripada keluarga kurang berkemampuan untuk kekal bersekolah sehingga tamat pembelajaran.
Melalui usaha seperti ini, Ruslan berharap ia dapat terus menyokong pendidikan generasi muda dan memberikan impak positif kepada masyarakat setempat.
Pada majlis sama, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili berkata, pihak Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu memuji inisiatif CSR yang dijalankan oleh BPHB.
Katanya, sokongan seumpama itu sangat bermakna bagi ibu bapa yang menghadapi kekangan kewangan, terutamanya pada musim persekolahan baharu.
“Semoga dengan apa yang telah diberikan ini bukan sahaja dapat mengurangkan beban, kerana kita tahu ramai dalam kalangan ibu bapa di luar sana yang mungkin kurang mampu.
“Dengan adanya peluang dan ruang yang diberikan oleh Bintulu Port Holdings melalui yayasan ini, insya-Allah ia akan dapat mengurangkan masalah dan membantu dalam menyediakan kemudahan pendidikan untuk anak-anak mereka,” katanya.
Oleh Carolyne Utih