KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap hari ini menyerahkan geran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kepada Majlis Paroki Gereja Blessed Sacrament BDC bagi menyokong kerja-kerja menaik taraf bangunan gereja berkenaan.
Yap berkata beliau berbesar hati apabila permohonan bantuan gereja itu yang sebelum ini disokongnya mendapat kelulusan kerajaan Sarawak.
“Saya berbesar hati dapat menyerahkan geran UNIFOR ini kepada Paroki Gereja Blessed Sacrament BDC hari ini.
“Saya sebelum ini menyokong permohonan gereja kerana saya percaya rumah ibadat bukan sahaja penting dalam kehidupan beragama, malah turut memainkan peranan dalam menyatukan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata usaha menaik taraf rumah ibadat merupakan sebahagian daripada komitmen Sarawak untuk memperkukuh infrastruktur masyarakat serta memastikan tiada komuniti yang terpinggir.
Yap turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak dan UNIFOR atas bantuan berterusan kepada rumah-rumah ibadat di seluruh negeri.
Beliau berharap geran itu dapat membantu pihak gereja melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan serta menyediakan persekitaran yang lebih baik kepada para jemaah dan masyarakat setempat.





