Oleh: Mohidin Haji Malek
“Merit sajak yang tidak dipertkaikan ramai orang: ia menyatakan lebih dan dalam perkataan yang kurang daripada prosa”. (One merit of poetry few people will deny: it says more and in fewer words than prose).
Kata-kata sedemikian itu diluahkan oleh Voltaire tentang sajak. Sememangnya hal sedemikian itu tidak dapat dinafikan. Sajak sememangnya ringkas dan padat, namun mengandungi maksud yang mendalam dan memerlukan penghayatan total untuk menghuraikan elemen yang tersirat. Lantaran hal yang sedemikian itu, tidak menghairankan apabila terdapat sajak-sajak yang diperkatakan atau dibicarakan panjang lebar berdasarkan tafsiran serta sisi pandang pembicaranya.
Hal yang sedemikian juga mungkin menjadi faktor penarik bagi kebanyakan penulis dan pengkarya untuk menukilkan puisi berbanding genre-genre lain seperti cerpen, novelet atau novel. Hal sedemikian ini dapat dilihat lewat penghasilan karya sajak berbanding cerpen atau novel. Seseorang pengkarya atau penulis yang prolifik, tidak mustahil mampu menghasilkan puluhan dan malahan ratusan sajak dalam tempoh setahun. Namun, untuk menghasilkan jumlah yang sama dalam genre cerpen atau novel, agak payah.
Namun demikian, elemen atau unsur yang sering tertirai adalah keberkesanan penyampaian mesej, pemikiran atau falsafah dalam sesebuah sajak yang dihasilkan agak mampu menyentuh hati dan naluri dan perasaan khalayak pembacanya. Hal sedemikian ini sering dibangkitkan. Sejauh manakah sesebuah sajak itu mampu menembusi dinding emosi pembaca? Hal yang sedemikian ini memang tidak semudah yang difikirkan. Memetikk kata-kata Robert Frost, “Poetry is when an emotion has found its thought and the thought has found words.”, atau “Sajak ialah ketika emosi telah ‘berjalin’ dengan pemikiran dan pemikiran ‘bertemu’ kata-kata”. Tuntasnya hubungan antara emosi, pemikiran dan kata-kata berupa elemen primer dalam penghasilan sesebuah sajak. Apa-apa juga ‘subjek’ yang ‘menyentuh’ emosi seseorang, akan melahirkan pemikiran yang diluahkan lewat kata-kata yang persis dan gramatis lewat penghasilan sesebuah sajak.
Mengambil kira dan ingatan akan hal yang sedemikian, penulis melaraskan pandangan pada tiga buah sajak yang telah tersiar dalam ruangan ini minggu lalu, iaitu sajak “Kasut Kehidupan” karya Mohd Hapizan, “Senandika Si Bapa” nukilan Adie Abd Ghani, dan “Bebelan Seorang Tua” tulisan Dayang Fatin Nurhazziqah Awang Madzelan. Ketiga-tiga buah sajak berkenaan menyentuh tentang rencah kehidupan lewat persepsi dan sudut pandangan yang berbeza-beza. Hal yang jelas, nada kerisauan, kesalan dan pengharapan yang cuba diketengahkan oleh ketiga-tiga pengkaryanya.
Membaca dan menaakul satu persatu sajak yang dihasilkan, secara umum, karya berkenaan menepati ciri-ciri penghasilan sesebuah sajak. Pun demikian, terkesan beberapa elemen yang perlu diberikan perhatian bagi tujuan penambahbaikan. Sajak pertama, “Kasut Kehidupan” karya Mohd Hapizan dimulakan dengan ayat tanya, dengan memilih elemen kasut sebagai imejan. Kasut yang dilambangkan sebagai ‘kendara’ perjalanan menempuhi kehidupan. Kendara si pengkarya dengan kendara ‘seseorang’, sama ada teman atau kenalan. Dalam konteks ini, Mohd Hapizan cuba ‘membandingkan’ liku perjalanan hidup yang dilaluinya dengan liku perjalanan individu berkenaan. Liku perjalanan yang jelas sekali amat berbeza seperti yang dilambangkan lewat ‘keadaan’ kasutnya dengan kasut individu tersebut. Diksi ‘muatkah’ yang dipilih oleh Mohd Hapizan, andai ditaakuli, membawa pengertian yang mendalam. Hal yang sedemikian ini secara tidak langsung, mencuit akal fikir untuk menelusuri keseluruhan maksud sajak berkenaan.
Pun demikian, dalam beberapa perkara perlu memberikan perhatian dalam konteks pembinaan bait-bait agar tidak tergelincir daripada landasan nilai keindahan yang mampu menjejaskan fokus khalayak pembaca. Pun begitu juga halnya dari sudut ejaan, misalnya perkataan jalan raya, dan aspek tanda baca. Dipaparkan kembali sajak tersebut sebagai ingatan.
Kasut Kehidupan
Muatkah kakimu, dalam kasutku?
Tanpa perlu kau asak-asak.
Warna kehidupan lusuh
oleh debu-debu dunia.
Kain camping dikoyak-koyak waktu.
Tapaknya nipis
Barangkali terlalu lama
Melangkah liku fana
Muatkah kakiku, dalam kasutmu?
Ah, nyaman
Merah cerah warna.
Kulitnya bersih, cantik masih.
Tumit tak ada sedikit cela,
Mungkin jalanrayanya sutera,
Atau kau tak pernah kembara?
Beralih kepada sajak kedua, “Senandika Si Bapa” oleh Adie Abd Ghani yang dinukilkan seperti yang berikut;
Senandika Si Bapa
Tulus senyum mekar,
di balik jasad perkasanya
mengerah keringat segala,
demi bahagia,
demi keluarga
Tiada langsung dalih
mengalih arah,
kemahuan si kecil,
serta menyunting pendek,
hasrat bidadarinya.
Semua ditunai,
selagi belum usai.
Kerna pabila tiba,
di pengakhiran jalan,
buntu ia memikirkan,
siapa ‘kan menjulang beban,
mengukir tawa dan aman,
kehidupan marga tercinta.
Sajak berkenaan membicarakan tentang pengorbanan bapa dalam membesarkan anak-anak. Persoalan ini bukanlah perkara baharu dalam penghasilan karya lewat mana-mana genre sekalipun. Pun demikian, untuk menghadirkan sebuah karya yang benar-benar mampu mencuit emosi khalayak pembaca sehingga timbul kesan, khususnya dalam nubari anak-anak sehingga bangkit kesedaran, menuntut kebijaksanaan dan kecendekiaan pengkarya memilih diksi yang sesuai bagi membentuk bait-bait yang indah dalam kerangka rangkap yang bertautan.
Pengorbanan seorang ayah yang bertungkus-lumus mengerah keringat demi kelangsungan hidup keluarga serta kebahagiaan dan kesejahteraan sesebuah keluarga berupa tanggungjawab yang berat. Namun demikian, hal yang berkenaan jarang-jarang sekali diperkatakan, apatah lagi dalam konteks era kini yang lebih gemar memaparkan senario ketua keluarga yang berjawatan tinggi, bergaji besar serta kemudahan-kemudahan yang menyelesakan. Sisi pandangan sering terbias tentang kehidupan para tani, peladang, buruh kasar dan seumpamanya. Golongan yang harus membanting tulang untuk menzahirkan segala kemahuan dan keinginan isteri dan anak-anak. Kesedaran sedemikian yang terbit daripada pemerhatian Adie yang mungkin ‘menggamit’ emosinya untuk menghasilkan sajak di atas.
Secara umum, sajak ini agak baik. Pun demikian, masih ada ruang untuk melakukan pemurnian bagi tujuan penambahbaikan. Dalam konteks ini, disarankan agar Adie lebih memberikan perhatian dari segi pemilihan diksi yang lebih sesuai serta mampu menyentuh emosi khalayak pembaca. Pun demikian juga halnya dalam konteks pembinaan frasa atau ayat yang gramatis. Di samping itu, sebagai ingatan, untuk menghasilkan sesebuah karya, waima dalam apa-apa genre, unsur penjiwaan harus diberikan perhatian serius, dalam erti kata menyelami naluri seorang ayah yang hidup dalam kepayahan dan kesusahan.
Sajak seterusnya, “Bebelan Seorang Tua” nukilan Dayang Fatin Nurhazziqah Awang Madzelan pula mengutarakan kekesalan seorang tua akan kebejatan yang berlaku pada era ini.
Bebelan Seorang Tua
Tua memamah diri lelaki,
Duduk sendiri di warung,
Meminum kopi dan merenung,
Bangsanya semakin melayu,
Seribu kedut menyatakan rayu;
Bangkitlah kembali pemuda pemudi
Kalian masa depan kami.
Kerut wajahnya,
Jelas remuk rendam hatinya,
Tak tergambar dengan kata-kata
Minda tidak terima sakit nan mata;
Inginku lihat semangat waja,
Terus setia berdoa jua memuja.
Anak-anak kini,
Menyakitkan hati,
Suami ghairah akan joli,
Isteri derhaka membentak-bentak sang suami,
Anak muda hanyut berfoya-foya;
Ini zaman kami ratib diri.
Yang benar dipenjarai,
Duit kopi sana sini,
Penipu dipuja dirai,
Iman aku tak merestui.
Persoalan keruntuhan moral dalam kalangan remaja serta institusi kekeluargaan sememangnya berupa isu yang lazim kita dengar dibicarakan masa kini. Kerisauan dan kekesalan Dayang Fatin ada kewajarannya. Kerisauan dan kekesalan yang dilontarkan lewat penghasilan sajak di atas. Lewat pemaparan ‘watak’ seorang tua, Dayang cuba ‘menyuarakan’ kebimbangan beliau akan situasi yang berlaku. Suatu usaha yang baik, namun, masih agak ‘goyah’ dari segi penjiwaan seperti halnya dengan sajak sebelumnya, “Senandika Si Bapa”. Sudut pandangan dan aras penaakulan seorang tua dengan anak muda tidak mungkin serupa. Lantaran, apa-apa yang berlegar dalam pemikiran “orang tua’ yang dipaparkan oleh Dayang Fatin tidak kesampaian lewat pelontaran sudut pandangan dan aras penaakulan seorang remaja. Hal yang sedemikian, ‘mengurangkan’ nilai ‘penerapan emosi’.
Dari segi pemilihan diksi, Dayang Fatin perlu berhati-hati. Demikian juga dengan pembinaan frasa dan ayat yang persis dan gramatis. Di samping hal sedemikian itu, fokus terhadap pokok persoalan yang diutarakan perlu dikekalkan. Apa-apapun, secara keseluruhan, usaha beliau harus diberikan pujian. Masih ada ruang untuk penambahbaikan dan pemurnian.
Secara keseluruhan, sajak-sajak yang dihasilkan baik dan memenuhi ciri-ciri penghasilan sesebuah sajak. Pun demikian, masih terkesan ciri-ciri tertentu yang perlu dibaiki dan dimurnikan bagi memantapkan karya-karya berkenaan. Teruskan berkarya, timba ilmu sebanyak mungkin dengan membuat rujukan dan banyak membaca dan menaakul sajak-sajak yang dihasilkan oleh penulis-penulis yang telah menempa nama dalam bidang penghasilan sajak. Sebagai penulis, jadikan kamus rakan sejati.
Tahniah dan syabas sekali lagi kepada ketiga-tiga penulis, iaitu Mohd Hapizan, Adie Abd Ghani dan Dayang Fatin Nurhazziqah Awang Madzelan. Usah patah semangat dan berputus asa. Semoga anda bertiga berjaya dalam bidang pengkaryaan, khususnya dalan genre penulisan sajak.