
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Majlis Kesyukuran Aidiladha anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) di Masjid Jamek, Petra Jaya di sini, hari ini.
Majlis dimulakan dengan acara penyembelihan haiwan korban yang disaksikan oleh para tetamu kehormat, diiringi alunan takbir yang menghidupkan suasana.
Seterusnya, Tun Wan Junaidi, Datuk Patinggi Abang Johari dan Dato’ Sri Fadillah turut serta dalam sesi melapah daging korban sebagai simbolik kepada majlis kesyukuran tersebut.
Majlis diteruskan dengan pengagihan daging korban kepada 30 orang penerima yang terdiri daripada golongan mualaf dan asnaf sekitar Kuching, yang disempurnakan oleh Tun Wan Junaidi.
Secara keseluruhan, seramai 100 orang penerima telah disantuni melalui agihan daging korban pada hari ini.
Terdahulu, para tetamu kehormat bersama lebih 3,000 jemaah menunaikan Solat Sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Imam Besar Sarawak, Dato’ Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Solat disusuli dengan khutbah khas bertajuk “Meraih Keimanan, Meningkatkan Pengorbanan”.
Turut menyerikan majlis ialah Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Setiausaha Kerajaan, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya, Yang Dipertua Majlis Islam, Datuk Misnu Taha serta ketua-ketua jabatan kerajaan dan tetamu kehormat yang lain. –UKAS