EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Lionel Messi bakal mencipta rekod sebagai pemain luar padang tertua beraksi dalam final Piala Dunia apabila Argentina menentang Sepanyol awal pagi esok (waktu Malaysia), manakala bintang muda Lamine Yamal pula berpeluang menyertai kelompok eksklusif juara dunia ketika usia remaja.
Final di Stadium MetLife, New Jersey turut menjadi pertemuan pertama antara Messi dengan Yamal, pemain yang kini dianggap sebagai pewaris legenda Argentina itu di Barcelona.
Satu-satunya pemain yang pernah beraksi dalam final Piala Dunia pada usia lebih tua daripada Messi ialah penjaga gol Itali, Dino Zoff, yang berusia 40 tahun ketika membantu negaranya menjuarai Piala Dunia 1982.
Berbeza dengan Messi, Yamal baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-19 pada Isnin lalu, sehari sebelum membantu Sepanyol menewaskan Perancis 2-0 pada separuh akhir.
Perjalanan karier Yamal begitu pantas apabila membuat penampilan sulung bersama Barcelona ketika berusia hanya 15 tahun.
Beliau menyarung jersi skuad kebangsaan Sepanyol buat kali pertama pada usia 16 tahun, sebelum membantu La Roja menewaskan England pada final Euro 2024 sejurus selepas menyambut ulang tahun ke-17. Pada kejohanan itu, beliau turut dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik.
Yamal turut muncul naib juara Anugerah Ballon d’Or tahun lalu di belakang Ousmane Dembele dan kini berpeluang mengukir sejarah sebagai antara pemain remaja yang pernah menjulang Piala Dunia.
“Dia sudah menjadi ikon global pada usia 19 tahun dan berpeluang mencipta sejarah, tetapi kami akan melakukan segala-galanya untuk menghalangnya,” kata Messi pada Jumaat.
Sempat dibelenggu kecederaan
Yamal memasuki kempen Piala Dunia dalam keadaan belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan sehingga timbul keraguan sama ada beliau mampu beraksi.
“Saya takut kecederaan itu serius dan walaupun tidak serius, saya bimbang akan mengalami masalah lain sehingga terlepas Piala Dunia,” katanya.
Beliau hanya diturunkan sebagai pemain gantian ketika seri tanpa jaringan dengan Cape Verde dalam aksi pembukaan, sebelum dikeluarkan pada separuh masa selepas menjaringkan gol ketika Sepanyol membelasah Arab Saudi 4-0.
Sejak itu, Yamal menjadi pilihan utama dalam kesebelasan utama Sepanyol, namun belum mempamerkan aksi yang benar-benar memukau seperti diharapkan.
Walaupun begitu, jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente tetap meletakkan kepercayaan penuh kepadanya.
Pada usia 19 tahun enam hari, Yamal bakal menjadi pemain ketiga termuda beraksi dalam final Piala Dunia. Rakan sepasukannya, Pau Cubarsi, yang enam bulan lebih tua, turut berpotensi mencipta sejarah.
De la Fuente menyifatkan Yamal sebagai seorang “genius”, setanding tokoh luar biasa seperti Salvador Dali dan Michelangelo.
“Mereka berbeza. Apa yang luar biasa bagi kita adalah sesuatu yang biasa bagi mereka,” katanya.
Jejak Pele dan Mbappe
Hanya dua pemain pernah beraksi dalam final Piala Dunia pada usia lebih muda daripada Yamal, iaitu legenda Brazil, Pele, yang berusia 17 tahun 249 hari ketika menjaringkan dua gol dalam kemenangan ke atas Sweden pada final 1958, serta Giuseppe Bergomi yang membantu Itali menewaskan Jerman Barat pada final 1982 ketika berusia 18 tahun.
Setakat ini hanya lapan pemain pernah memenangi Piala Dunia ketika masih remaja.
Daripada jumlah itu, hanya Pele dan Kylian Mbappe pernah menjaringkan gol dalam final sebelum berusia 20 tahun. Mbappe melakukannya ketika membantu Perancis muncul juara dunia pada 2018 ketika berusia 19 tahun.
Impian Mbappe untuk mengulangi kejayaan itu tahun ini bagaimanapun berakhir selepas Perancis disingkirkan Yamal dan Sepanyol di separuh akhir.
Kini Yamal pula berpeluang menafikan impian Messi untuk muncul juara dunia buat kali kedua, sekali gus mengesahkan dirinya sebagai bintang global baharu bola sepak dunia.
Pertembungan mereka juga cukup istimewa kerana hampir dua dekad lalu, Messi yang ketika itu berusia 20 tahun pernah dirakam memandikan Yamal yang baru berusia lima bulan dalam sebuah tab mandi plastik biru bagi sesi fotografi kalendar UNICEF.
“Gambar itu memang luar biasa,” kata Messi.
Bekas penyerang Perancis, Thierry Henry, yang memenangi Piala Dunia pada usia 20 tahun, menyifatkan pertembungan itu sebagai simbol peralihan generasi.
“Lamine Yamal menentang Leo Messi. Itulah masa depan menentang masa lalu, masa kini, masa depan dan legenda yang kekal selama-lamanya,” katanya. — AFP


