
Yamal (kanan) bukan kali pertama berjaya menangkis kritikan.
VALENCIA: Lamine Yamal sekali lagi membuktikan dirinya sebagai bintang masa depan selepas meledak gol menakjubkan ketika Sepanyol mengikat Belanda 3-3, sebelum menang 5-4 menerusi penentuan penalti untuk mara ke separuh akhir Liga Negara-Negara.
Di hadapan ribuan penyokong di Estadio Mestalla, Yamal yang baru berusia 17 tahun terus mencuri tumpuan dengan aksi penuh bertenaga, meskipun mengalami detik pahit apabila penaltinya diselamatkan Bart Verbruggen.
Bagaimanapun, kejayaan Sepanyol ke separuh akhir tetap menjadi satu lagi batu loncatan dalam perjalanan gemilang pemain remaja sensasi Barcelona itu.
Jaringan Yamal pada masa tambahan cukup memukau, apabila dia mengawal hantaran Dean Huijsen dengan kemas, berpusing untuk membuka ruang, sebelum melepaskan rembatan lencong yang menewaskan Verbruggen.
Gol itu hadir selepas dia menerima kritikan susulan aksi kurang menyerlah dalam perlawanan suku akhir pertama minggu lalu.
Bekas pemain Belanda, Rafael van der Vaart, mengkritik gaya permainan Yamal, termasuk mendakwa dia ‘kurang berusaha’ dan bersikap sambil lewa.
Namun, Yamal membalas dengan caranya sendiri.
Selain menjawab di atas padang, dia turut menyindir Van der Vaart menerusi hantaran di Instagram selepas perlawanan: “Seluar pendek turun, satu gol, satu penalti terlepas dan ke separuh akhir, ayuh Sepanyol!” tulisnya bersama gambar wajah Van der Vaart.
Ini bukan kali pertama Yamal berani menangkis kritikan.
Ketika Euro 2024, dia turut membalas komen Adrien Rabiot selepas membantu Sepanyol menyingkirkan Perancis menerusi satu lagi jaringan hebat.
Walaupun gagal menyempurnakan penaltinya, rakan sepasukan Yamal, Pedri, yakin pemain muda itu tidak akan terjejas dengan kesilapan berkenaan.
“Saya cakap kepadanya, itu penalti paling teruk!” kata Pedri berseloroh.
“Tetapi dia seorang yang tenang, tekanan langsung tidak memberi kesan kepadanya. Anda perlu ambil penalti untuk tahu bagaimana rasanya gagal.” – AFP