
CHATTANOOGA, Amerika Syarikat: Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal, berkata masih “terlalu awal” untuk beliau beraksi selama 90 minit penuh ketika meneruskan proses pemulihan daripada kecederaan hamstring menjelang perlawanan Piala Dunia menentang Arab Saudi.
Anak buah Luis de la Fuente terikat dengan keputusan mengejut tanpa jaringan menentang pendatang baharu, Cape Verde, dalam aksi pembukaan Kumpulan H dan berharap dapat mencatat kemenangan pertama apabila bertemu Arab Saudi pada awal pagi Isnin ini (waktu Malaysia).
Pemain sayap Barcelona berusia 18 tahun itu membuat penampilan pertamanya sejak mengalami kecederaan pada pertengahan April apabila masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-71 ketika menentang Cape Verde pada Isnin lalu.
“Masih terlalu awal, tidak perlu tergesa-gesa,” kata Yamal kepada penyiar awam Sepanyol, RTVE, mengenai kesediaannya untuk bermain sepanjang perlawanan.
“Bukan masanya untuk bermain satu perlawanan penuh, tetapi saya boleh bermain selama mana minit yang dikehendaki jurulatih.”
De la Fuente sebelum ini memberitahu Radio Cope pada Khamis bahawa Yamal mampu beraksi selama “sekitar sejam” dalam perlawanan hujung minggu ini di Atlanta.
Walaupun gagal mengubah keadaan pada penghujung perlawanan menentang Cape Verde yang beraksi penuh disiplin, rakan sepasukannya di Barcelona, Pau Cubarsí, yakin Yamal mampu memberikan impak besar dalam kejohanan itu.
“Kita semua sudah mengetahui kualiti yang dimiliki Lamine,” kata Cubarsí pada Jumaat.
“Sama ada dia diturunkan atau tidak, dia akan membantu pasukan sebaik mungkin. Namun saya juga percaya sesiapa yang bermain di posisinya mampu melakukan tugas dengan baik.”
Sepanyol merupakan antara pilihan utama untuk menjulang trofi sebelum kejohanan bermula, namun mereka belum pernah melepasi pusingan 16 terbaik Piala Dunia sejak menjuarai kejohanan itu buat kali pertama pada tahun 2010. – AFP