SRI Aman FA terpaksa akur tewas kepada Serian FA 1-2 pada aksi pertama Liga SSC-FAS 2022 di Kompleks Sukan Sri Aman, kelmarin.
PENGENDALI skuad Sri Aman FA, Mohd Hairulasfia Hasbi menerima kekalahan 2-1 di tangan Serian FA dengan hati terbuka dan mengakui pemain-pemainnya telah memberi komitmen terbaik.
Katanya, adalah masih terlalu awal anak didiknya berputus asa tatkala perjalanan Liga SSC-FAS 2022 masih lagi panjang dan menuntut barisan pemainnya untuk bangkit pada aksi-aksi selepas ini.
“Kami akan buat “post-mortem” dan perbaiki kesilapan untuk perlawanan akan datang,” katanya.
Menurut beliau, pasukannya telah sedaya upaya menyamakan kedudukan sepanjang perlawanan dan mengakui ketumpulan jentera serangan telah menggagalkan hasrat pasukannya meraih sekurang-kurangnya satu mata.
Skuad Serian katanya, dilihat bermain degan baik bagi mengekang asakan dan strategi tuan rumah dalam perlawanan itu.
Hairulasfia turut memuji permainan pasukan lawan yang diakuinya nampak lebih kemas sepanjang perlawanan, sekaligus menyukarkan pasukan bimbingannya memecah masuk untuk menyerang.
“Inilah pengalaman pahit dan kita perlu ambil pengajaran di atas kekalahan yang kita alami,” ujarnya.
Pada masa sama, Hairulasfia menganggap kekalahan ini sebagai satu ujian dan beliau turut yakin skuadnya mampu bangkit dengan rentak permainan terbaik selepas ini memandangkan perlawanan Liga SSC-FAS ini masih panjang.
“Perjalanan liga masih panjang dan kita tidak boleh mudah berputus asa kerana ada pasukan yang tidak bermula dengan baik tapi kembali bangkit di pertengahan hingga ke hujung liga.
“Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan apa yang perlu kita lakukan adalah bangkit di perlawanan seterusnya.” tegasnya.