Yahos-Unimas teroka kerjasama strategik penyelidikan kanser

Facebook
WhatsApp
KUNJUNGAN HORMAT… Delegasi Yahos School of Skills yang diketuai Pengarah Urusannya, Natasha Nasa Douglas Uggah, mengadakan kunjungan hormat ke Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), di sini semalam. Foto Yahos School of Skills

KUCHING: Yahos School of Skills meneroka peluang kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dalam bidang penyelidikan onkologi, khususnya meliputi rawatan kanser, pencegahan serta inovasi penjagaan kesihatan.

Usaha itu dibincangkan menerusi satu kunjungan hormat delegasi Yahos School of Skills ke Unimas yang diketuai Pengarah Urusannya, Natasha Nasa Douglas Uggah, di sini semalam.

Delegasi berkenaan disambut Dr Ahmad Hata bersama wakil pengurusan Unimas, manakala perbincangan turut disertai wakil Curie Oncology Singapore dan Curie Malaysia secara dalam talian.

Pertemuan itu menjadi platform bagi kedua-dua pihak mengenal pasti ruang kerjasama berpotensi dalam memperkukuh penyelidikan onkologi, perkongsian kepakaran serta pembangunan inovasi kesihatan.

Ia turut membuka peluang kepada meneroka pendekatan baharu dalam menangani cabaran berkaitan penyakit kanser menerusi penggabungan kepakaran institusi pendidikan, penyelidik, pakar perubatan dan pemain industri.

Menurut Natasha, kerjasama strategik membabitkan pelbagai pihak berkepentingan penting bagi menghasilkan impak lebih besar kepada masyarakat, khususnya dalam bidang penyelidikan dan inovasi kesihatan.

“Yahos percaya bahawa gabungan kepakaran antara institusi pendidikan, universiti, pakar perubatan dan rakan industri mampu mewujudkan sinergi yang lebih kukuh dalam bidang penyelidikan serta inovasi kesihatan.

“Pertemuan ini merupakan langkah awal yang bermakna untuk menggabungkan kepakaran, keupayaan penyelidikan dan jaringan strategik ke arah memperkasa penyelidikan onkologi serta meningkatkan hasil penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata Yahos School of Skills sentiasa komited membina jaringan kerjasama yang mampu memberi nilai tambah bukan sahaja dalam pendidikan dan latihan kemahiran, malah turut menyumbang kepada pembangunan penyelidikan, inovasi dan kesejahteraan komuniti.

“Kerjasama yang sedang diteroka bersama Unimas dan rakan strategik diharap dapat membuka ruang kepada pelaksanaan inisiatif mampan serta memberi manfaat kepada Sarawak, Malaysia dan komuniti serantau.

“Melalui pendekatan kolaboratif berkenaan, Yahos School of Skills terus memperkukuh jaringan strategiknya dalam usaha memperkasa kepakaran dan menyumbang kepada pembangunan penyelidikan serta inovasi penjagaan kesihatan,” katanya.

Oleh Adi Safarman