Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • YADIM Sarawak salur bantuan RM42,350 kepada 242 pelajar asnaf
  • Selatan
  • WILAYAH

YADIM Sarawak salur bantuan RM42,350 kepada 242 pelajar asnaf

Utusan Sarawak 1 day ago
SERAMAI 242 pelajar daripada 27 sekolah menyaksikan setiap pelajar menerima RM175 seorang, dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM42,350, hasil Dana Zakat Yayasan Taqwa yang disalurkan menerusi kerjasama bersama YADIM Sarawak. Foto UKAS

SIMUNJAN: Inisiatif murni menyalurkan bantuan persekolahan kepada pelajar asnaf di Daerah Simunjan disifatkan sebagai langkah signifikan dalam menyemarakkan nilai kasih sayang, empati dan keadilan sosial, sejajar dengan konsep Malaysia MADANI.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, yang menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Apin, menzahirkan penghargaan tinggi kepada pihak penganjur, khususnya Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sarawak, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Simunjan, serta Yayasan Taqwa atas pelaksanaan program bermakna ini.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini. Ia bukan sahaja membantu dari sudut kewangan, malah menjadi suntikan semangat kepada anak-anak kita yang memerlukan,” ujar beliau ketika berucap pada majlis tersebut, hari ini.

Awla menegaskan bahawa pendidikan adalah tunjang utama dalam membina generasi masa depan yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing. Oleh itu, ia harus menjadi keutamaan semua pihak, termasuk institusi keagamaan, kerajaan dan masyarakat umum.

“Islam sendiri meletakkan ilmu sebagai satu kewajipan. Sabda Nabi Muhammad SAW: ‘Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap Muslim.’ (Hadis Riwayat Ibnu Majah),” jelas beliau sambil menekankan pentingnya sokongan berterusan terhadap pelajar daripada keluarga B40.

Beliau turut mengingatkan bahawa anak-anak asnaf yang menerima bantuan ini bukan beban masyarakat, tetapi aset penting negara yang perlu diberi peluang, perhatian dan bimbingan.

“Mereka adalah amanah dan harapan kita semua. Kita mesti bantu mereka berjaya, bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga sebagai insan berguna kepada masyarakat dan negara,” tegasnya.

Tambah beliau, walaupun nilai bantuan yang diterima mungkin tidak besar, kesannya sangat besar dari segi psikologi dan semangat pelajar.

“Sumbangan ini mungkin kecil berbanding keperluan sebenar tetapi ia sangat bermakna dalam meringankan beban ibu bapa. Ia juga simbol sokongan kita terhadap masa depan anak-anak ini,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pelajar supaya menggunakan bantuan tersebut dengan sebaik mungkin sebagai pemangkin untuk terus gigih menuntut ilmu dan tidak mudah berputus asa.

“Gunakan bantuan ini sebaiknya. Belajarlah dengan bersungguh-sungguh, hormati guru dan hadapi cabaran hidup dengan semangat juang yang tinggi,” ujarnya.

Majlis yang melibatkan seramai 242 pelajar daripada 27 sekolah itu menyaksikan setiap pelajar menerima RM175 seorang, dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM42,350, hasil Dana Zakat Yayasan Taqwa yang disalurkan menerusi kerjasama bersama YADIM Sarawak.

Awla juga menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat, termasuk para penderma, pentadbir sekolah dan agensi kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan golongan memerlukan.

Turut hadir Pengarah YADIM Sarawak, Awang Dulhadi Awang Mat, Pegawai Unit Pendidikan Islam (Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan), Ustaz Jumaat @ Juma Jumalai dan Ustaz Iskandar Zulkarnian Arani, Guru Besar SK Sungai Apin, Ibrahim Lobot serta pengetua-pengetua dan guru besar sekolah yang terlibat. -UKAS

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Lebih 1,300 kanak-kanak meriahkan peraduan mewarna Farley Sibu
Next: Setiausaha Kerajaan Sarawak terima kunjungan hormat delegasi UiTM Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.