
KUCHING: Penganjuran Festival Sukan Ekstrem Antarabangsa DBKU 2026 terus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab sukan ekstrem dan destinasi pelancongan berimpak tinggi di rantau ini.
Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, acara berprestij itu semakin berkembang dari segi skala dan penyertaan antarabangsa sejak mula diperkenalkan pada 2024.
“Acara ini bukan kali pertama dianjurkan dan kita telah menyaksikan perkembangan positif serta peningkatan minat terhadap sukan ekstrem di Sarawak.
“Edisi tahun ini dijangka lebih besar dan meriah dengan penambahan acara serta penyertaan antarabangsa yang lebih kukuh.”
“Penganjuran bersama ‘Canroll Pro Urban Sports Festival’ turut mengangkat acara ini sebagai festival sukan urban yang menggabungkan elemen atletik, kreativiti dan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis perasmian Festival Sukan Ekstrem Antarabangsa DBKU 2026 di Tebingan Kuching, hari ini.

Beliau mengulas lanjut, selain acara darat seperti BMX, papan selaju dan ‘rollerblading’, acara berasaskan air termasuk perlumbaan jet ski turut diperkenalkan.
“Ini sekali gus memanfaatkan lokasi unik Tebingan Kuching sebagai tarikan utama kepada peserta dan pengunjung.
“Acara seperti ini menjadi platform penting untuk atlet tempatan menyerlah di pentas antarabangsa selain menggalakkan pertukaran idea dan pengalaman bersama peserta dari luar negara.
“Kita percaya atlet Sarawak mampu bersinar di peringkat global, dan semuanya bermula daripada platform seperti ini. Peserta tempatan hari ini berpotensi menjadi juara antarabangsa pada masa hadapan,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa penganjuran acara sukan berskala besar turut menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan negeri.
“Pada Januari 2026 sahaja, Sarawak merekodkan 437,677 pelawat, peningkatan 9.27 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Ketibaan pelawat antarabangsa mencecah 247,063 orang, manakala pelancongan domestik meningkat 14.05 peratus kepada 190,614 orang.
“Resit pelancongan juga meningkat kepada RM1.115 bilion, menunjukkan keyakinan tinggi terhadap Sarawak sebagai destinasi pilihan,” ujarnya.
Beliau menambah, acara seperti itu memberi kesan limpahan ekonomi kepada sektor hospitaliti, makanan dan minuman serta perusahaan kecil dan sederhana.
Untuk rekod, Festival Sukan Ekstrem Antarabangsa DBKU 2026 berlangsung dari 8 hingga 12 April di Tebingan Kuching dengan penyertaan kira-kira 200 atlet dari dalam dan luar negara, sekali gus mengukuhkan peranan Sarawak sebagai destinasi utama sukan ekstrem dan pelancongan sukan.
Oleh Masrin Affirah