

WYNSON Ong Teck Ping (kiri) menerima Anugerah Kecemerlangan Diraja 2025 dan Ijazah Kehormat daripada Lord Paul Martin (kanan) dalam satu majlis rasmi di Dewan Pertuanan, Parlimen United Kingdom, London.
LONDON: Anak kelahiran Sarawak, Wynson Ong Teck Ping, mencipta sejarah tersendiri apabila dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Diraja 2025 serta Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Advokasi Pengguna dan Pembangunan Komuniti.
Penganugerahan tersebut disampaikan dalam satu majlis berprestij yang berlangsung di Dewan Pertuanan, Parlimen United Kingdom, pada 23 Julai lalu.
Kedua-dua pengiktirafan tersebut telah disampaikan sendiri oleh tokoh terkemuka, Lord Paul Martin, sebagai penghormatan atas sumbangan luar biasa Ong dalam memperjuangkan hak pengguna serta memperkasa pembangunan komuniti.
Ong merupakan antara 21 penerima anugerah dari seluruh dunia dan hanya satu daripada 11 individu yang menerima ijazah kehormat dalam majlis bersejarah itu.
Pengiktirafan tersebut bukan sahaja menjadi pencapaian peribadi buat beliau, malah turut mengharumkan nama Malaysia, Borneo, khususnya Sarawak di pentas antarabangsa.
Menurut Ong, penghormatan ini bukan sekadar kejayaan peribadi, ia adalah kejayaan bersama yang mencerminkan kekuatan komuniti, budaya dan usaha kolektif.
Anugerah Kecemerlangan Diraja 2025 merupakan antara anugerah tertinggi peringkat antarabangsa di United Kingdom yang mengiktiraf tokoh global atas sumbangan mereka dalam mencetus perubahan positif, kerjasama merentas budaya, serta kepimpinan yang inovatif.