WYF gesa kerajaan haramkan penjualan vape

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan. Foto Bernama

MELAKA: Yayasan Belia Dunia (WYF) menggesa kerajaan mengharamkan penjualan vape di negara ini susulan peranti rokok elektronik itu dikenal pasti sering disalah guna dengan bahan terlarang seperti ganja, methamphetamine dan dadah sintetik lain.

Bercakap pada sidang media selepas “Forum Bahaya Dadah Sintetik dan Ancaman Bahan Psikoaktif Baharu: Tren, Isu dan Penyelesaian” di sini hari ini, Pengerusi WYF Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata trend itu menjadi ancaman utama kepada golongan muda terutama pelajar sekolah yang mudah terdedah dengan penggunaan vape.

“WYF menggesa kerajaan mengharamkan penjualan vape di negara ini dan ia merupakan satu daripada resolusi utama yang dicapai pada forum hari ini.

“Kita akan membawa resolusi ini di peringkat kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kesihatan dalam masa terdekat,” katanya selepas forum tersebut yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Mohd Ridhwan berkata setakat ini, tujuh negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Pahang dan Perak telah mengharamkan penjualan vape dan Melaka diharap mengikut jejak negeri berkenaan. 

Beliau berkata selain itu, lebih 30 negara telah mengharamkan penjualan atau penggunaan vape termasuk negara jiran Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.

Mohd Ridhwan berkata antara resolusi lain dicapai dalam forum itu ialah memperkukuh pencegahan awal, termasuk memperluas pendidikan mengenai bahaya dadah sintetik dan bahan psikoaktif baharu di semua institusi pendidikan melalui pendekatan berasaskan fakta, sains dan pengalaman sebenar serta meningkatkan penganjuran taklimat, seminar atau kempen tentang bahaya rokok dan vape.

“Resolusi lain yang dicapai ialah meningkatkan literasi digital khususnya menggunakan kecerdasan buatan dan analitik data bagi mengesan corak pengedaran dadah secara dalam talian termasuk penggunaan kod, simbol dan bahasa tersirat oleh sindiket.

“Selain itu, memperkukuh kerjasama dengan syarikat media sosial dan penyedia platform digital untuk mengesan, menyekat dan menurunkan kandungan mempromosikan penjualan berkaitan dadah secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata WYF juga berharap mekanisme pemantauan terhadap pengedaran dadah sintetik termasuk melalui platform e-dagang, media sosial dan rangkaian gelap dapat dipertingkat serta tindakan bersepadu antara agensi penguatkuasaan dalam membanteras ekosistem pengedaran dan penyalahgunaan dadah juga diperhebat.

Mohd Ridhwan berkata kerajaan juga diharap memperkasa kerjasama antarabangsa antaranya dengan negara ASEAN dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dalam usaha  membanteras penyeludupan dadah serta perkongsian risikan mengenai dadah sintetik termasuk melibatkan kawalan sempadan, pelabuhan, lapangan terbang dan laluan perdagangan. – Bernama