SERIAN: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk mewujudkan blok tambahan di Pusat Tahanan Kem Semuja untuk menempatkan orang tahanan bagi mengelakkan penularan Covid-19 di pusat tahanan berkenaan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pusat tahanan yang ada kini menempatkan terlalu ramai orang tahanan.
“Kita tidak dapat menunggu, Kerajaan Sarawak akan membantu Jabatan Imigresen untuk mewujudkan pusat tahanan sementara ini untuk menempatkan orang tahanan.
“Saya serahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), yang pentingnya ada bangunan. Asal sahaja mereka dapat mempunyai nisbah yang betul untuk menempatkan orang tahanan yang mana mesti ada penjarakan fizikal di antara dan yang kena tahan.
“Kalau mereka (JKR) kata tiga blok, kita bina tiga blok, kalau mereka cakap empat blok kita akan tambah, asal ada ruang.
“Oleh itu, saya telah bersetuju untuk mewujudkan lagi blok tambahan supaya tempat kuarantin sementara ini dapat menempatkan sepuluh orang dalam satu bilik sekali gus mengurangkan jangkitan Covid-19 di kawasan ini,” katanya.
Beliau ketika ditemui media selepas mendengar taklimat di Pusat Tahanan Kem Semuja, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Abang Johari menyimpulkan terdapat dua sebab utama yang menyumbang kepada penularan Covid-19 di pusat tahanan berkenaan seperti pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tidak dipatuhi dan keadaan tempat tinggal.
“Saya rasa kesimpulannya, mungkin ada kelemahan daripada SOP iaitu dari sudut ujian rt-PCR yang tidak dipatuhi dengan SOP yang sebenar ini kerana biasanya mereka ini diuji di satu tempat dahulu sebelum dibawa ke tempat ini tetapi mungkin ada kelemahan dalam proses tersebut.
“Pekara kedua pula kita diberi taklimat bahawa dalam satu blok mempunyai tahanan yang begitu ramai iaitu 75 tahanan dalam satu blok.
“Saya rasa kalau tidak ada Covid-19 ianya okay tetapi dengan adanya Covid-19 ini ia terlalu padat untuk menempatkan orang tahanan yang begitu ramai dalam satu bilik,” ujarnya.
Justeru itu, kerajaan negeri akan membantu Jabatan Imigresen untuk mewujudkan pusat tahanan sementara bagi menempatkan orang tahanan.
Selain itu, beliau berkata kerajaan akan bekerjasama untuk memperbaiki cara pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) di kawasan berkenaan.
“Namun begitu, yang sangat penting kita jaga kita ini yang penting dan apa yang kita dapat bantu kerajaan negeri akan membantu.
“Oleh itu, saya berharap dalam masa beberapa hari ini kita dapat menurunkan jumlah jangkitan Covid-19 dan rakyat Sarawak sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya lagi.
Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi, Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri Richard Riot Jaem dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Chin Zin Hing.
Oleh JEAKQLEYN YACHO