
KUALA LUMPUR: WTK Holdings Bhd (WTK) dan anak syarikat milik penuhnya, BioPalm Venture Sdn Bhd sedang mempertimbangkan beberapa pengambilalihan bernilai RM555 juta.
WTK dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata cadangan pengambilalihan itu adalah sejajar dengan strategi keseluruhan kumpulan untuk mengembangkan kehadirannya dalam perniagaan penanaman kelapa sawit di Sarawak, iaitu merangkumi aktiviti perladangan kelapa sawit huluan dan operasi kilang kelapa sawit.
Perjanjian pertama dengan WTK Realty, melibatkan perolehan tujuh juta saham biasa dalam Desacorp Sdn Bhd, mewakili 100 peratus kepentingan ekuiti pada harga RM230 juta.
Pengambilalihan kedua menerusi BioPalm Venture dan WTK Realty, bagi 14 juta saham dalam Imbok Enterprise Sdn Bhd, mewakili 70 peratus pegangan, bernilai RM290 juta.
Cadangan ketiga pula menyaksikan BioPalm Venture dan WTK Realty memperoleh 3.5 juta saham dalam WTK Oil Mill Sdn Bhd, mewakili 70 peratus kepentingan ekuiti, pada RM35 juta.
“Apabila cadangan pengambilalihan itu dimuktamadkan, Desacorp akan menjadi anak syarikat milik penuh WTK, manakala Imbok Enterprise dan WTK Oil Mills akan menjadi anak syarikat 70 peratus milik BioPalm Venture,” kata WTK.
Sementara itu, WTK berkata penyertaan Desacorp sebagai anak syarikat milik penuh, selain Imbok Enterprise dan WTK Oil Mills, akan mengukuhkan kewangan WTK Group, memandangkan keputusan kewangan mereka akan disatukan sepenuhnya ke dalam akaun WTK.
“Ini adalah sejajar dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia, mengukuhkan asas aset dan aliran hasil kumpulan, keuntungan dan penjanaan aliran tunai, dan keterlihatan pendapatan jangka panjang.
“Memandangkan permintaan global yang kukuh bagi minyak sawit, kumpulan ini yakin mengenai kemampuan bahagian perladangan untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan keuntungan bagi tahun-tahun akan datang,” katanya.
Cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai sepenuhnya menjelang suku pertama 2026.
-Bernama