
KUCHING: WorldSkills Malaysia Sarawak 2025 (WSM-Sarawak 2025) kini memasuki fasa penentu apabila pertandingan akhir meniti hari-hari terakhir dengan momentum yang semakin rancak, menyaksikan aksi terbaik 89 finalis daripada institusi kemahiran dan pendidikan seluruh Sarawak.
Pertandingan kemahiran dwitahunan anjuran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Sarawak itu terus menjadi tumpuan utama sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini.

Penganjuran yang bermula pada 4 Disember dan berlangsung sehingga esok itu diadakan di 10 lokasi utama, antaranya Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Sarawak Skills, Institut Automotif dan Kimpalan Sarawak (AWISAR), Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti UCSI, Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) Miri, Institut Kemahiran MARA (IKM) Kuching, Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sarawak serta GIATMARA Petra Jaya.
Dalam edisi kali ini, seramai 89 finalis dipilih daripada 274 peserta pra-kelayakan untuk berentap dalam 15 bidang kemahiran, dengan setiap peserta berdepan ujian teknikal yang intensif bagi merebut gelaran terbaik negeri.

Kemuncak pertandingan bakal menyaksikan penganjuran Majlis Anugerah Tangan Emas Premier Sarawak 2025 yang dijadual berlangsung Isnin depan di Pusat Konvensyen CIDB Sarawak, sebagai pengiktirafan tertinggi kepada bakat kemahiran cemerlang.
Suasana pertandingan kekal hangat sepanjang penganjuran apabila para peserta mempamerkan tahap ketepatan, kreativiti dan kemahiran bertaraf profesional, sekali gus mencerminkan komitmen Sarawak dalam melahirkan tenaga mahir berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan.