
SIBU: Gandingan Wong Ngieng Ming dan Pio Su muncul juara Pingpong Beregu Terbuka 2026 sempena Karnival Sukan SABERKAS (KASUS) yang berlangsung di Stadium Pingpong, Jalan Merdeka, di sini, semalam.
Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang RM700, piala, pingat dan sijil, selepas menewaskan pasangan Lucas Wong dan Lawrence Ting yang menerima RM500 berserta piala, pingat dan sijil.
Tempat ketiga menjadi milik Ngieng Kai Yun dan Ngieng Shun Yun dengan ganjaran RM300, piala, pingat dan sijil, manakala pasukan di tempat keempat menerima RM150 beserta piala dan sijil.
Sementara itu, empat pasukan sagu hati iaitu Tiong Yong Kiong dan Chua King Hua, Steven Kong dan Jayden Ling, Wali dan Hakimi, serta Soh Kee Yew dan Lim King Soon masing-masing menerima RM50, pingat sagu hati dan sijil penyertaan.
Sebanyak 32 pasukan mengambil bahagian dalam karnival yang disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Joshua Ting, mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing.
Karnival anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Dudong itu bertujuan menggalakkan penyertaan belia dalam sukan kompetitif serta memperkukuh semangat kesukanan dan perpaduan komuniti setempat.
Turut hadir ialah Pengerusi SABERKAS Cawangan Dudong, Saudara Tiong Sie Keong.
Oleh Tarani Lanting