
SIBU: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong, Wong Ching Yong, menyuarakan kekecewaan terhadap Belanjawan 2026 yang dilihat tidak memberi perhatian sewajarnya kepada pembangunan infrastruktur utama di Sibu, termasuk Lapangan Terbang Sibu dan Hospital Sibu.
Menurut beliau, dua kemudahan awam itu sepatutnya diberi keutamaan memandangkan peranannya yang penting sebagai pintu masuk utama dan pusat rujukan kesihatan bagi kawasan tengah Sarawak.
Wong berkata, sebanyak RM2.3 bilion diperuntukkan untuk pembangunan lapangan terbang di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Miri, namun Lapangan Terbang Sibu tidak termasuk dalam senarai tersebut walaupun mengendalikan sekitar 1.5 juta penumpang pada 2024 dan merupakan lapangan terbang ke-10 paling sibuk di Malaysia.
“Lapangan Terbang Sibu dibina pada 1995 dan hanya dinaik taraf pada 2009. Kini, kemudahannya semakin usang dan memerlukan pelaburan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyenaraikan beberapa isu utama yang perlu diberi perhatian segera termasuk keadaan tandas yang tidak memuaskan, ruang dewan berlepas yang kecil, dan kawasan tempat letak kereta yang tidak mencukupi.
Dalam aspek kesihatan pula, Wong berkata Hospital Sibu sebagai hospital rujukan utama di kawasan tengah Sarawak juga wajar diberi perhatian di bawah peruntukan RM1.2 bilion bagi pembinaan dan naik taraf hospital di seluruh negara.
“Hospital Sibu memerlukan pusat satelit jantung dan kanser, serta pemasangan pendingin hawa di wad pesakit bagi meningkatkan keselesaan dan mutu perkhidmatan kesihatan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan pembinaan bangunan parkir bertingkat bagi mengatasi masalah kekurangan ruang parkir di hospital berkenaan yang sering menimbulkan kesesakan dan kesulitan kepada pesakit serta pelawat.
Wong berkata, kedua-dua Ahli Parlimen Sibu, Alice Lau dan Oscar Ling dari Parti Tindakan Demokratik (DAP), seharusnya menggunakan pengaruh politik mereka dalam kerajaan persekutuan bagi memperjuangkan keperluan rakyat Sibu.
“Kedua-dua mereka merupakan satu-satunya wakil rakyat Sibu di Parlimen. Maka menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan Lapangan Terbang Sibu dan Hospital Sibu diberikan keutamaan dalam pembangunan negara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pengguguran Sibu daripada tumpuan utama Belanjawan 2026 menimbulkan rasa kecewa dan terpinggir dalam kalangan penduduk tempatan yang berharap kawasan itu turut menikmati pembangunan seimbang seperti bandar-bandar lain di Sarawak.
Oleh Tarani Lanting