
Aksi Wirtz ketika menentang Yokohama F. Marinos di Jepun. Foto AFP
YOKOHAMA: Florian Wirtz membuka akaun jaringan pertamanya bersama Liverpool ketika juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menewaskan Yokohama F. Marinos 3-1 dalam aksi persahabatan pra musim di Jepun, hari ini.
Penyerang Perancis, Hugo Ekitike pula membuat penampilan sulung bersama Liverpool – seminggu selepas menyertai pasukan dari Eintracht Frankfurt – dengan nilai dilaporkan 69 juta pound (RM391.55 juta).
Wirtz menyamakan kedudukan selepas Yokohama membuka tirai jaringan perlawanan pada awal babak kedua, di hadapan lebih 65,000 penyokong.
“Saya sangat gembira kerana menjaringkan gol pertama saya. Saya harap lebih banyak lagi (jaringan) akan hadir selepas ini,” kata Wirtz yang menyertai Liverpool dari kelab Bayer Leverkusen.
Trey Nyoni dan Rio Ngumoha juga menjaringkan gol buat Liverpool.
Dalam pada itu, pengendali Liverpool, Arne Slot gembira dengan prestasi pasukan yang mampu bangkit daripada ketinggalan namun kurang berpuas hati apabila mereka membazirkan peluang terhidang.
“Ia mungkin (disebabkan) kem latihan yang sukar dan mungkin juga disebabkan cuaca,” katanya.
“Namun itu adalah sesuatu yang perlu kami perbaiki lagi.” – AFP