Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • ‘Wira Merah’ Zon Samarahan hayati pengorbanan dalam sambutan Hari Anggota Bomba 2026
  • Selatan
  • WILAYAH

‘Wira Merah’ Zon Samarahan hayati pengorbanan dalam sambutan Hari Anggota Bomba 2026

Utusan Sarawak 18 hours ago
SAMBUTAN Hari Anggota Bomba 2026 peringkat Zon Samarahan yang diraikan penuh istiadat di semua balai di bawah pentadbiran zon berkenaan hari ini. Foto: Bomba Zon Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Semangat patriotik dan penghargaan terhadap jasa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terserlah dalam Sambutan Hari Anggota Bomba 2026 peringkat Zon Samarahan yang diraikan penuh istiadat di semua balai di bawah pentadbiran zon berkenaan hari ini.

Sambutan yang berlangsung serentak itu menyaksikan anggota bomba tampil segak beruniform dalam perbarisan rasmi sambil mendengar amanat serta perutusan khas Ketua Pengarah JBPM yang menekankan komitmen berterusan pasukan dalam menjaga keselamatan rakyat.

Tumpuan utama sambutan zon berkenaan berlangsung di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan yang menerima penghargaan simbolik sempena lebih 50 tahun penubuhannya sejak mula beroperasi pada 1 Januari 1972.

Acara penanaman pokok Fukugi atau dikenali sebagai “Pokok Kebahagiaan” telah disempurnakan di bawah pimpinan Ketua Bomba Zon Samarahan, Gawai John, sebagai lambang Sambutan Jubli Emas Penyatuan JBPM serta simbol kesinambungan perkhidmatan kebombaan yang semakin matang.

Sementara itu, beberapa balai lain turut mengadakan program yang menekankan aspek rohani, disiplin dan kebersamaan dalam kalangan anggota.

SAMBUTAN Hari Anggota Bomba tahun ini bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi manifestasi iltizam warga JBPM untuk terus berkhidmat dengan dedikasi tinggi demi keselamatan masyarakat.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)Samarahan menyaksikan Ketua Balai, Christian Olas, memimpin nyanyian pagi dan doa selamat bagi menyemarakkan semangat berpasukan dalam kalangan warga balai.

Majlis di BBP Siburan pula diketuai oleh Ketua Cawangan Penyiasatan Kebakaran Zon Samarahan, Muhammed Mirza Dzalmira Miraj, dengan pengisian bacaan Yasin, tahlil serta nyanyian lagu patriotik seperti Negaraku dan Ibu Pertiwiku.

BBP Serian pula menjadi lokasi perbarisan rasmi yang diketuai oleh Pegawai Operasi, Nasihin Jaum, yang mencerminkan tahap disiplin serta kesiapsiagaan tinggi anggota dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan.

Sambutan di BBP Asajaya berlangsung dalam suasana penuh kesyukuran menerusi bacaan Yasin dan doa yang dipimpin oleh Ketua Balai, Jusmandie Jamaie.

Sambutan Hari Anggota Bomba tahun ini bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi manifestasi iltizam warga JBPM untuk terus berkhidmat dengan dedikasi tinggi demi keselamatan masyarakat selaras dengan slogan “Siap Sedia Setiap Masa”.

Oleh Adi Safarman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Penutupan sementara Lebuh Raya Pan Borneo Betong-Sarikei KM39, Ahad ini
Next: Masalah tekanan air di Batu 10 selesai selepas dua tahun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.