Oleh Roslan Jomel
ALAM semula jadi yang diciptakan oleh Allah SWT mengikut bahagian yang sewajarnya secara kuantitatif dan kualitatif. Demikian tulis Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin dalam akhbar Harian Metro, 4 Julai, 2019, disertakan beberapa ayat yang membuktikan kebenaran berhubung kenyataan saintifik itu tentang betapa teratur dan seimbangnya setiap ciptaan Tuhan demi kesejahteraan penghuninya. Semuanya dicipta dengan ukuran dan had yang telah ditentukan. Di samping itu juga, diperingatkan tentang sifat para penghuninya yang melampaui batas. Misalnya dalam Surah ar-Rum, ayat ke 41 Allah SWT berfirman,
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Apa-apa sahaja yang terakam dari dalam al-Quran mahupun hadis, sudah pasti akan benar-benar berlaku di atas muka bumi ini. Namun, manusia sentiasa berasa tidak cukup dengan apa yang berada dalam genggaman tangan mereka. Lantaran desakan kemajuan dan urbanisasi, manusia sudah tidak lagi menghiraukan kesan sampingan yang bakal memusnahkan habitat dan kelestarian alam buat generasi mendatang.
Hamparan kehijauan yang membaluti landskap bumi kian dirobek sesuka hati dan siri pemusnahan itu berlaku dari hari ke hari tanpa mampu dikawal lagi. Salah satu kepentingan hutan paling utama ialah membekalkan gas oksigen ke atmosfera yang diperlukan oleh manusia dan juga haiwan. Ia juga turut mengimbangi kandungan gas di udara. Semasa proses fotosintesis, tumbuh-tumbuhan menggunakan gas karbon dioksida untuk membuat makanan dan membebaskan gas oksigen sebagai bahan buangan. Manakala, manusia dan haiwan pula membebaskan gas karbon dioksida dan menggunakan gas oksigen semasa proses respirasi.
Proses respirasi dan fotosintesis menunjukkan saling kebergantungan di antara manusia dan haiwan dengan tumbuh-tumbuhan untuk melangsungkan kehidupan masing-masing. Proses ini berlaku secara berulang-ulang, menyebabkan bekalan oksigen dalam udara sentiasa mencukupi untuk kegunaan kehidupan seperti proses pernafasan dan membantu pembakaran. Jika hutan tiada, bayangkan, sudah pasti gas karbon dioksida akan menjadi berlebihan dalam udara yang menyebabkan berlakunya peningkatan suhu udara lalu membawa kesan negatif kepada manusia dan hidupan liar. Tidak mustahil lambat-laun hal ini akan berlaku.
Dalam dokumentari David Attenborough: A Life on Our Planet, David Attenborough yang bertindak sebagai narator untuk rakaman dokumentari itu mengingatkan bahawa kesan kebinasaan pasca kejadian letupan stesen kuasa nuklear Chernobyl di Ukraine, hanyalah satu contoh kepada siri tragedi yang kerap berlaku secara berleluasa setiap hari tanpa disedari. Namun, kerana dek kelalaian dan tidak ambil peduli terhadap kelestarian alam sekitar, manusia lebih memikirkan hal masing-masing sehinggalah musibah itu berlaku di depan mata. Kita sudah semakin tidak lagi berasa takjub melihat fenomena banjir besar, kejadian kepala air dan yang terbaharu, sekumpulan gajah menaiki bukit.
Sebagaimana yang menjadi norma dalam mentaliti sebahagian masyarakat kita, mereka akan bergegas untuk menyelesaikan sebarang insiden berbahaya sebak sahaja malapetaka sudah pun berlaku dan meragut nyawa. Jika berkesempatan menonton dokumentari yang saya sebutkan di atas, anda pasti berasa bahawa situasi dunia pada masa sekarang, bukan lagi kian terancam, tetapi sudah menghampiri titik kemusnahan oleh kecuaian dan keangkuhan para penghuninya sendiri. Kita sedang perlahan-lahan menyalakan sumbu api untuk menghanguskan dunia. Pada detik kehancuran, wang, pangkat, kuasa dan gelaran depan nama, sudah tidak lagi bermakna untuk dibangga-banggakan.
Kesedaran betapa dahsyat dan serakahnya pihak pembalak sehingga meratakan belantara menimbulkan risiko kepada para penghuni asal kawasan hutan. Fokus itu menjadi teras utama kepada inspirasi pengarang dan perkara itu ditulis dengan nada serius. Suatu usaha perlu dilakukan untuk membanteras aktiviti sebegitu. Jika terlambat, generasi masa depan hanya mungkin melihat bangunan-bangunan konkrit di sekeliling mereka. Sementara usahawan-usahawan kayu akan terus mengaut keuntungan demi keuntungan.
Demikian Benedict Samling menyatakan prinsip perjuangannya tentang kelestarian hutan dalam naskhah bertajuk Atma Jiwa. Epoi menjadi hero kita dalam naskhah itu dan seterunya pula bernama Ugam serta konco-konconya. Pertembungan antara mereka berdua menjadi kunci kepada kepentingan naskhah Atma Rimba. Bagaikan semut menentang gajah.
Sebagai penghuni asal rimba yang berasa terkilan melihat kemusnahan di depan matanya, Epoi bertindak nekad untuk membongkar kegiatan tidak bertanggungjawab itu. Berbekal kamera usang, Epol meredah hutan-hutan di Ulu Kapit, Ulu Baleh, Long Lama, Long Moh, Ulu Padawan sehingga ke serata Bumi Kenyalang. Namun, kamera beresolusi tinggi itu pecah berderai oleh Ugam. Bagi pembalak haram, kehadiran Epoi bersama-sama kamera menjadi duri dalam daging untuk kelancaran aktiviti mereka. Dan individu seperti Epoi wajar dihapuskan dengan apa-apa saja cara sekalipun. Tiada istilah mengalah dalam diri Epoi. Kamera yang baharu sahaja dihancurkan Ugam, belum mematahkan misinya. Alat perakam itu boleh didapati di mana-mana kedai. Namun jika hutan terus dimusnahkan tanpa batasannya, ia bukan sahaja sukar untuk dilihat semula, bahkan bakal memudaratkan kehidupan manusia. Ke manakah segala haiwan akan berhijrah kalau habitat asal mereka dimusnahkan? Walaupun urusan sebegitu bukanlah semudah yang dijangka.
Apa yang dilakukan oleh Epoi bukan untuk mengejar nama atau sebarang ganjaran. Kawan-kawan selensa (dibaca jurufoto) berasa cemas melihat keberanian Epoi untuk menelanjangi aktiviti pembalak yang semakin bermaharajalela memusnahkan zon hijau demi memewahkan pihak mereka. Tetapi Epoi berfikiran jauh. Dia perlu melakukan sesuatu, kerana jika bukan dia, siapakah lagi yang hendak merakam aktiviti pembalakan di hutan-hutan yang telah bersebati dengan jiwanya? Emosinya bagai disiat-siat melihat satu demi satu pokok eksotik ditumbangkan. Lalu apa yang tinggal selepas hutan-hutan dimusnahkan? Hal demikian sudah tentu bukan menjadi kegusaran dalam fikiran para kapitalis yang semakin kaya di singgahsana mereka. Biarpun secara fizikalnya ditewaskan oleh Ugam dan konco-konconya, Epoi belum mahu untuk mengundurkan diri. Epoi berbisik, selagi bernyawa, tidak akan dirinya membiarkan petualang-petualang itu mengikis khazanah hutan.
Sebagaimana yang dikatakan sendiri oleh Epoi, semua yang dilakukannya bukan untuk kemegahan, jauh sekali ganjaran dan populariti. Tetapi hanya untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai makhluk ciptaan Tuhan yang dianugerahkan akal. Sungguh idealistik dan waja semangat yang ditunjukkan oleh Epoi. Bahkan kamera yang ada di tangannya, merupakan hadiah untuk kecemerlangannya dalam membongkar aktiviti-aktiviti pembalakan haram. Epoi bertugas di bidang kewartawanan. Dan itu menjadi amanah sosialnya untuk terus menyorot segala gerak-geri pembalakan yang bermatlamatkan keuntungan segera. Epoi rela nyawanya berakhir asalkan dia berkesempatan mengabadikan kegiatan pihak durjana dalam kamera. Biarlah badan dan harga dirinya dipermainkan oleh Ugam dan konco-konconya, namun itu bukan bererti bahawa dia sudah dikalahkan. Semangat yang membara dan prinsip yang tertanam dalam jiwa tidak mudah dicabut dengan ancaman maut ke atasnya.
Sudah lima hari Epoi dengan kedua-dua tangannya terikat ke belakang. Dia dibuli, diseksa, diperlakukan dan didera secara mental dan fizikal. Ugam mengugut dan ingin Epoi untuk menghentikan kerja intipannya. Epoi sedar, itulah cabaran dan risiko yang tidak dapat dielakkan dalam urusannya membongkar aktiviti pembalakan haram. Epoi tahu apa yang mendorongnya untuk memasuki hutan. Dan dia juga sedar, kemunculannya sebagai wartawan pasti menimbulkan permusuhan di pihak kapitalis. Pada detik itu juga Epoi mengenang kembali ucapannya dalam Seminar Alam Semula jadi di Kuching. Betapa manusialah yang menjadi pelaku utama mengganggu keharmonian ekosistem alam semula jadi. Dia menayangkan di skrin layar ribuan bangkai haiwan bergelimpangan, bukit-bukit kapur yang dimusnahkan, sungai mengalir lemah dan mungkin pelbagai lagi impak kerosakan alam yang bakal terpapar di skrin. Itulah realiti yang sepatutnya membukakan mata pihak berwewenang.
Dalam keadaan yang tidak berdaya, fikiran Epoi sekali lagi terlempar kembali akan tegahan daripada kawan-kawan selensanya. Agar jangan sesekali memasuki hutan Baleh. Ada manusia yang lebih buas berbanding harimau di situ. Epoi tidak menghiraukannya. Dia tidak akan berhenti. Hanya ajal yang bakal memutuskan misi besarnya. Biarpun Ugam terus-menerus menyeksa tubuh dan melemahkan semangatnya dari semasa ke semasa. Dia tidak gentar atau menunduk kepada kemahuan pembalak haram. Epoi malahan mengingatkan kepada Ugam, bahawa perbuatan curang mereka akan dibalas oleh alam. Mendengar kata-kata Epoi itu, Ugam malahan semakin panas hati dan memberikan tamparan kuat ke wajah tawanannya itu. Epoi terpelanting ke atas tanah namun Ugam belum berpuas hati dan terus menendang perut Epoi tanpa belas kasihan. Sepertinya tiada harapan untuk Epoi untuk membebaskan diri. Dalam keadaan kedua-dua tangan terikat ke belakang dan tubuhnya yang semakin lemah, Epoi berharap agar berlakunya keajaiban untuk menyelamatkan dirinya. Bahkan Ugam tentu mahukan Epoi supaya memberhentikan usahanya untuk mengintip aktiviti mereka sebagai usahawan kayu buat selama-lamanya. Pihak mereka pasti mengalami kerugian kalau Epoi dibiarkan hidup. Epoi perlu dihapuskan daripada pandangan. Itu sahaja jalannya.
Tanpa semena-mena, langit menjadi gelap dan disertai hujan lebat sehingga menyebabkan tanah merah dan bercerun menjadi papan gelongsor. Ugam tergelincir lalu terjatuh ketika meniti pada batang pokok tumbang. Beg yang disangkut pada bahunya terlucut. Serentak dengan itu, ratusan keping wang kertas berwarna ungu terkeluar dari beg kulit dan terus berterbangan bersama-sama dengan daun-daun. Melihatkan betapa banyaknya wang yang berterbangan itu, Ugam pantas mengejar arah kesemua wang itu pergi dibawa angin kuat. Ugam memanggil konco-konconya namun deruan angin yang begitu kuat dan ganas membatas jeritannya. Sekian lama alam semula jadi berdiam melihat kerakusan Ugam dan konco-konconya memusnahkan pokok-pokok, kini tibalah masa Ugam dibalas sesuai dengan perbuatannya. Tanah merah yang bergerak seperti aliran sungai menuju ke arah Ugam. Aliran air merah terus menghentam tubuh Ugam sekuat-kuatnya sehinggakan petualang itu tercungap-cungap dan tenggelam-timbul di sebalik aliran lumpur yang bagaikan menelan Ugam. Syukurlah, Epoi mampu menyelamatkan dirinya semasa insiden yang tidak diduga itu. Epoi menaiki tungul kayu dan melihat dengan puas hati bagaimana alam mengajar Ugam ke atas dosa-dosa yang dilakukannya selama ini.
Naskhah yang dihasilkan oleh Benedict Samling itu mengingatkan saya dengan naskhah karangan Awangku Merali Pangeran Mohamed yang bertajuk Berselindung di Sebalik Gunung. Ia isu yang serius dan kompleks. Sebagaimana menjadi identiti kepengarangan beberapa orang penulis Sarawak, tema-tema domestik yang berkaitan dengan isu-isu hutan, penempatan warisan dan krisis kebudayaan masih terus dijadikan asas kepada pembinaan karya kreatif. Ia gerak kerja yang terus bersambungan dari tangan ke tangan para pengarang tempatan. Dan itulah yang ditunjukkan oleh Benedict Samling dengan naskhah yang menjelaskan betapa getir dan berisikonya kerja mengintip aktiviti pembalakan hutan secara haram. Sebagai pengarang yang dekat dengan alam semula jadi, Benedict Samling masih berasa perlu untuk mengangkat hal-hal itu untuk naskhahnya ketika gaya kehidupan semakin canggih. Ia bukan sekadar naskhah kreatif, tetapi juga, sebagaimana yang dikatakan oleh David Attenborough, sebagai bentuk kenyataan daripada saksi.
Naskhah-naskhah bertema tempatan sebegitu masih mustahak dalam khazanah kesusasteraan dalam negara. Ia menjadi bukti bertulis untuk menyerlahkan keterlibatan para pengarang dalam menyatakan kepekaan mereka tentang situasi dan kenyataan yang berlaku demi tujuan kehidupan yang lebih baik buat generasi masa depan. Sebagai peminat kesusasteraan dari Sarawak, tema-tema sedemikian memang sudah terlalu kerap ditulis oleh para pengarangnya. Adakah tema-tema sedemikian sudah semakin basi dan tidak kompetitif dengan kenyataan harian? Tidak juga. Masing-masing menulis berdasarkan latar belakang, akademik, gaya hidup dan situasi keadaan dari tempat mereka berkarya. Cumanya, saya ingin menyatakan di sini, agar tema-tema sedemikian harus diiringi dengan pengetahuan dan kemahiran semasa agar naskhah-naskhah menjadi lebih menarik, berperspektif baharu dan mengesankan secara artistik dan pemikirannya. Lihatlah bagaimana teknik subplot yang digunakan oleh Awangku Merali Pangeran Mohamed ketika menghasilkan naskhah Pelagus. Naskhah itu sungguh menarik kerana pendekatan kontemporari dalam kerja penulisannya.
Secara keseluruhan, naskhah Atma Rimba tidaklah memperlihatkan keunikan dan keistimewaan yang baharu. Apa yang dilakukan oleh Benedict Samling, dilihat dari sudut pertukangan seninya, juga masih berada pada tahap sederhana. Pembaca mahukan pelukisan dan seni pertukangan yang lebih canggih seiring dengan perkembangan kesusasteraan terkini. Ada beberapa tema dan persoalan terkini yang juga wajar untuk diangkat ke dalam naskhah. Misalnya pengangguran golongan siswazah, penerokaan bidang perniagaan dalam kalangan generasi baharu dan banyak lagi tema penting yang berlaku sama ada di bandar atau di kampung terpencil. Luaskan ufuk penelitian. Namun apa yang patut saya puji ialah, kelancaran naratif Atma Rimba dan juga ketajaman kiasan pengarang menggambarkan aksi tegang antara Epoi dan Ugam. Bahkan Benedict Samling juga berjaya mengadun naskhah dengan bahasa yang mudah untuk difahami oleh pembaca. Penulisan yang kemas dan harmoni memperlihatkan kematangan seorang penulis. Tahniah atas kerja penulisan anda.