
SIBU: Keputusan Ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS), Wilson Nyabong Ijang untuk bertanding jawatan presiden parti mendapat sokongan padu Ketua Pemuda PRS Bahagian Tamin, Kaunselor Henry Kanyan Vincent Rawing.
Henry berkata, langkah itu wajar selepas Wilson menerima sokongan kuat daripada rakan-rakan dalam Majlis Tertinggi serta ahli parti di peringkat akar umbi.
Menurutnya, sejak awal penubuhan PRS, Wilson memahami kekuatan, cabaran dan potensi parti kerana terlibat secara langsung dalam perjalanan politiknya.
“Sepanjang karier politik, Wilson berpeluang bekerja rapat dengan pengasas parti, mendiang Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing dan sering mendapatkan pandangan beliau bagi memahami hala tuju parti serta denyut nadi rakyat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Henry menegaskan, Wilson juga bersedia meneruskan serta memperkukuh agenda politik yang digariskan mendiang Masing demi memastikan legasi beliau terus hidup dan membawa PRS ke tahap lebih gemilang.

Beliau menambah, PRS memerlukan presiden yang berwibawa, berintegriti dan dekat di hati rakyat.
“PRS harus mengikuti denyut nadi rakyat, mengekalkan keharmonian dan perpaduan. Tanpa menafikan jasa pemimpin terdahulu, parti ini perlu bergerak maju sebagai sebuah parti yang segar sepanjang zaman,” ujarnya.
Henry turut berharap PRS terus menegakkan perpaduan dalam kalangan ahli serta bekerjasama secara harmoni demi menyokong kemajuan masyarakat Dayak dan membawa lebih banyak kejayaan kepada rakyat Sarawak secara keseluruhan.
Terdahulu menerusi kenyataannya, Ahli Majlis Tertinggi PRS, Wilson Nyabong Ijang mengumumkan hasratnya untuk bertanding merebut jawatan presiden parti pada mesyuarat Tiga Tahun Sekali (TDC) parti itu yang dijadual berlangsung pada 18 hingga 19 Oktober ini.
Nyabong berjuang bersama mendiang Masing sejak 1988 ketika bersama Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).
ADUN Pelagus selama dua penggal itu, sebelum ini menggalas tugas sebagai Setiausaha Politik Premier Sarawak selama lebih enam tahun sebelum menjadi wakil rakyat.
Pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PRS 10 Ogos lalu, parti memutuskan agar semua penyandang jawatan tertinggi mempertahankan jawatan masing-masing pada TDC kali ini.
Oleh Akun Giman