
SIBU: Ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Wilson Nyabong Ijang, mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden PRS pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) parti itu yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas menerima sokongan padu daripada rakan-rakan dalam Majlis Tertinggi PRS serta ahli parti di peringkat akar umbi.
“Setiap kali saya turun padang menghadiri majlis di kawasan mereka, saya akan meluangkan masa bersama ahli-ahli akar umbi PRS. Mereka adalah sumber kekuatan saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wilson turut menegaskan komitmennya untuk meneruskan dan memperkukuh agenda politik parti yang telah diasaskan oleh mendiang Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, demi memastikan legasi bekas presiden itu terus hidup dan membawa PRS ke tahap lebih gemilang.
Menurutnya, sepanjang kerjaya politik, beliau berpeluang bekerja rapat dengan mendiang Masing, selain kerap mendapatkan pandangan dan nasihat dalam soal hala tuju parti, keperluan rakyat dan dinamika politik akar umbi.
“Saya bersama PRS sejak awal penubuhannya. Justeru, saya memahami kekuatan, cabaran dan potensi parti ini,” ujarnya lagi.
Mengulas keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi PRS pada 10 Ogos lalu, Wilson menyifatkan ia sebagai bukti kematangan demokrasi dalam parti, yang terus mengamalkan pemilihan terbuka pada setiap TDC.
“Pemilihan ini diadakan dalam semangat kebersamaan dan kekeluargaan, dengan perpaduan sebagai teras utama. Selepas pemilihan, kita mesti terus bersatu, merapatkan saf, saling menyokong dan bergerak maju bersama,” katanya.
Sekiranya diberikan mandat oleh perwakilan, beliau berikrar untuk menjunjung prinsip perpaduan parti, memperkukuh hubungan dengan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta mempertahankan hak dan keadilan rakyat Sarawak, khususnya masyarakat Dayak.
“Saya menggesa semua ahli PRS untuk bersatu dan memperkukuh perjuangan kita demi memastikan kelangsungan agenda politik yang telah diilhamkan oleh pengasas kita,
“Dengan perpaduan dan tekad bersama, PRS akan kekal relevan, kuat, dan menjadi wadah utama perjuangan rakyat di Sarawak,” kata beliau lagi.
Nyabong berjuang bersama mendiang Masing sejak 1988, iaitu dalam Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).
ADUN Pelagus selama dua penggal itu, sebelum ini menggalas tugas sebagai setiausaha politik Ketua Menteri Sarawak selama enam tahun enam bulan sebelum menjadi wakil rakyat.
Semasa Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PRS pada 10 Ogos lalu, parti itu memutuskan semua barisan jawatan tertinggi parti harus mempertahankan jawatan masing-masing semasa pemilihan parti pada TDC yang dijadualkan pada Oktober akan datang.
Oleh Akun Giman