
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, menegaskan komitmennya terhadap pembangunan pendidikan dan komuniti dengan menyerahkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Mejar Jeneral Dato Ibrahim, Kem Semenggo, di sini, semalam.
Menurut beliau, sumbangan tersebut bertujuan membantu pembelian peralatan sekolah serta penambahbaikan kemudahan sedia ada bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk murid dan guru.
“Pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan. Memastikan sekolah dilengkapi dengan kemudahan yang mencukupi serta diselenggara dengan baik amat penting bagi menyokong proses pembelajaran dan pembangunan menyeluruh pelajar,” katanya.
Dalam lawatan yang sama, Yap turut menjalankan pemantauan tapak bagi kerja naik taraf Fasa Dua di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di sekolah berkenaan, yang melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000.
Beliau berkata, projek tersebut memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur sekolah bagi meningkatkan aspek keselamatan, fungsi dan keselesaan warga sekolah.
Yap menegaskan kepentingan pemantauan rapi bagi memastikan setiap projek yang dibiayai kerajaan dilaksanakan secara cekap dan memberikan manfaat sebenar kepada rakyat.
“Pemantauan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kami untuk memastikan projek RTP disiapkan mengikut spesifikasi, menepati jadual dan benar-benar memenuhi keperluan komuniti,” katanya.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan sekolah, PIBG, agensi pelaksana serta kontraktor atas kerjasama yang diberikan, sambil menegaskan bahawa pendidikan dan keperluan akar umbi akan terus menjadi keutamaan beliau.
Oleh Connie Chieng