KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap menyalurkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada dua tabung kebajikan rejimen tentera bagi membantu kebajikan anggota serta keluarga mereka.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM5,000 diserahkan kepada Tabung Kebajikan Rejimen 11 Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Semenggo, manakala RM5,000 lagi disalurkan kepada Tabung Kebajikan Rejimen 511 RAMD di Kem Ria dalam lawatan beliau ke kedua-dua kem hari ini.
Menurut Yap, tabung kebajikan berkenaan memainkan peranan penting dalam membantu anggota tentera yang sedang berkhidmat, veteran serta keluarga mereka, terutama ketika berdepan kesusahan, kecemasan atau memerlukan sokongan kebajikan.
Beliau berkata, walaupun jumlah sumbangan itu tidak besar, ia tetap menjadi tanda penghargaan masyarakat terhadap pengorbanan dan komitmen anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan keamanan, keselamatan serta kedaulatan negara.
“Anggota Angkatan Tentera Malaysia telah banyak berkorban demi melindungi negara. Justeru, kita wajar terus menyokong usaha yang dapat meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan mereka,” katanya.
Yap berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Kem Semenggo dan Kem Ria, selain menyerahkan sumbangan berkenaan kepada wakil tabung kebajikan kedua-dua rejimen.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pegawai pemerintah serta anggota di kedua-dua kem atas layanan baik dan kerjasama yang diberikan sepanjang lawatan tersebut.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kerjasama dengan agensi keselamatan serta menyokong program yang memberi manfaat kepada anggota tentera dan keluarga mereka.
Yap berharap sumbangan itu dapat membantu tabung kebajikan melaksanakan lebih banyak program bermanfaat, selain memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia atas dedikasi, profesionalisme dan khidmat bakti mereka kepada negara, serta mendoakan agar mereka terus berjaya dalam menjalankan amanah.
Oleh Connie Chieng





