Wilfred Yap periksa dua projek RTP siap bernilai RM550,000 di Kota Sentosa

Facebook
WhatsApp
WILFRED Yap menjalankan pemeriksaan akhir terhadap projek-projek di Kota Sentosa.

KUCHING, 8 Oktober: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap hari ini menjalankan pemeriksaan akhir terhadap dua projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai keseluruhan RM550,000 yang telah siap dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Pemeriksaan itu bertujuan memastikan kedua-dua projek dilaksanakan mengikut skop yang diluluskan, selain mengenal pasti sebarang kecacatan atau masalah yang memerlukan tindakan susulan.

Yap bersama pegawai Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan pemimpin masyarakat setempat memeriksa projek RTP 2024 menaik taraf jalan serta sistem perparitan di Lorong Sungai Tapang 4 yang melibatkan peruntukan RM500,000.

Beliau turut meninjau projek RTP 2025 membina tempat letak kereta baharu menghadap jalan utama di Klinik Kesihatan Kota Sentosa dengan kos RM50,000.

Menurutnya, penyediaan tempat letak kereta tambahan itu dijangka meningkatkan kemudahan akses serta keselesaan pesakit, pengunjung dan kakitangan klinik.

Yap menegaskan bahawa penyiapan sesuatu projek tidak bermakna proses pemantauan telah berakhir kerana kedua-dua projek berkenaan masih tertakluk kepada Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP) selama setahun bermula dari tarikh masing-masing disiapkan.

“Bagi saya, penyampaian projek bukan sekadar mengumumkan atau meluluskan sesuatu projek.

“Kita juga perlu membuat susulan, memeriksa kerja yang telah siap dan memastikan kemudahan tersebut benar-benar diserahkan dengan baik kepada rakyat.

“Sekiranya terdapat kecacatan atau masalah sepanjang Tempoh Liabiliti Kecacatan, perkara itu mesti dikenal pasti dan diperbaiki sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan berkala serta kerjasama rapat dengan pegawai MPP dan pemimpin masyarakat penting bagi memastikan projek RTP mencapai matlamat pelaksanaannya serta memberikan manfaat jangka panjang kepada penduduk

Sehubungan itu, Yap akan terus memantau kedua-dua projek sepanjang tempoh DLP dan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan sebarang kecacatan atau isu yang belum diselesaikan dapat ditangani sewajarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pegawai MPP, kontraktor, pemimpin masyarakat serta penduduk atas kerjasama dan maklum balas yang diberikan sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.

Oleh Connie Chieng